KUALA LUMPUR – Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) mengajak syarikat-syarikat tempatan untuk meneroka peluang pelaburan di Madinah, selari dengan usaha kerajaan Arab Saudi memacu ekonomi negara itu.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Sharimahton Mat Saleh berkata, Arab Saudi sedang melaksanakan transformasi besar-besaran merealisasikan Wawasan Arab Saudi 2030 untuk mengurangkan kebergantungan kepada minyak dengan mempelbagaikan ekonomi dan membangunkan sektor-sektor perkhidmatan awam termasuk kesihatan, pendidikan, pelancongan dan infrastruktur.

“Jadi syarikat-syarikat seperti pembinaan, pembangunan infrastruktur, bahan-bahan binaan, pelancongan dan sektor perkhidmatan wajar mengambil peluang ini.

“Syarikat Malaysia mempunyai peluang yang besar untuk menerokainya, khususnya di Madinah.

“Hubungan kukuh antara kedua negara merupakan asas kukuh bagi entiti Malaysia untuk mewujudkan kerjasama dengan Arab Saudi,” kata beliau dalam satu kenyataan,” katanya dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, beliau menasihatkan supaya syarikat Malaysia memastikan sudah cukup bersedia dengan pengetahuan pasaran dan strategi sebelum memasuki pasaran itu.

Ini kerana, setiap pasaran adalah berbeza dan memerlukan pelbagai pelarasan dan penambahbaikan.

“Sebab itu adalah penting bagi syarikat-syarikat berhubung dengan Matrade terlebih dahulu,” kata Sharimathon sambil memaklumkan agensi itu mempunyai pelbagai hubungan dengan pemain industri dan pihak berkuasa Arab Saudi termasuk Pihak Berkuasa Pelaburan Arab Saudi (SAGIA).

Katanya, setakat ini terdapat lebih 25 syarikat Malaysia terlibat dalam pelbagai perniagaan di Arab Saudi termasuk perkhidmatan pembinaan, pengurusan hotel, perkhidmatan haji dan umrah, restoran dan katering, jana kuasa dan kejuruteraan sivil.

Tahun lalu, jumlah dagangan Malaysia dengan Arab Saudi ialah RM21.67 bilion naik 45.2 peratus berbanding RM14.92 billion pada tahun sebelumnya. – MalaysiaGazette