KUALA LUMPUR – Penggunaan kertas yang dikitar semula sebenarnya memberikan impak besar dan memainkan peranan penting dalam mengurangkan kesan-kesan negatif penggunaan kertas kepada alam sekitar.

Malah inisiatif penggunaan kertas yang dihasilkan semula dari kertas terpakai adalah satu daripada usaha memelihara hutan serta pengurangan pencemaran berpunca dari sisa buangan dan bahan kimia yang digunakan dalam proses menghasilkan kertas biasa.

Profesor Madya Dr. Leh Cheu Peng dari Bahagian Teknologi Biosumber, Kertas dan Penglitup, Universiti Sains Malaysia (USM) justeru percaya betapa perlunya kesedaran tentang pengunaan kertas kitar semula dipupuk.

Kata Cheu Peng, walaupun warna kertas kitar semula untuk percetakan dan penulisan adalah kekuningan serta kecerahannya tidak setara dengan kertas biasa, namun penggunaannya dapat mengurangkan kesan negatif terhadap alam sekitar.

Jelas beliau, ini disebabkan penebangan hutan dan isu-isu pencemaran daripada kilang pulpa bersepadu.

“Penggunaan kertas yang mesra alam ini juga memberi kesan baik kepada individu yang menghadapi tanda Irlen, iaitu suatu gangguan neurologi yang menyukarkan mereka untuk menerima sesetengah sinar cahaya.

“Malah juga gangguan  warna sehingga menyebabkan otak tidak dapat memproses maklumat yang diterima. Sebelum ini, pakar psikologi dan diagnosis irlen dari Singapura, Doris Ang sendiri pernah menerangkan visual Dyslexia boleh disukarkan lagi oleh faktor persekitaran seperti cahaya cerah yang menyebabkan ketidakselesaan atau kesukaran untuk menumpukan perhatian.

“Ini terutamanya dibawah lampu cerah, atau bahan yang mempunyai permukaan berkilat terang dan kertas putih. Imej akan kelihatan putar belit sehingga menyebabkan kesakitan mata, mengantuk, pemahaman yang lemah dan masalah kurang tumpuan.

“Salah satu cara untuk mengurangkan kesukaran membaca ini adalah melalui penggunaan Overlay Berwarna atau Lensa Warna Bertapis yang khusus. Untuk penerbitan, kertas kitar semulam kertas tanpa pemutihan, tanpa silau, atau kertas berwarna tanpa pemutihan adalah lebih baik daripada kertas putih yang biasa.

“Kertas ini memberi perbezaan antara teks dan kertas. Ianya dapat mengurangkan gangguan imej dan memudahkan proses pembacaan dan pemahaman. Semua ini perlukan kefahaman dan juga kesedaran tinggi, kerana itu kempen banyak dijalankan pada masa sama,” katanya kepada MalaysiaGazette.

PaperBeliau mengulas tentang kempen yang dianjurkan oleh Malaysian Newsprint Industries Sdn. Bhd (MNI) bersama-sama USM yang sedang giat dijalankan seluruh negara ketika ini.

Kempen ini dianjurkan untuk memberi kesedaran kepada penggiat industri buku, penerbit, ibu bapa dan para pelajar untuk menggunakan kertas kitar semula agar rakyat Malaysia lebih menghargai alam sekitar dimana kesan daripada penghasilan kertas baru amat membimbangkan

Melalui inisiatif ini, MNI telah menganjurkan ’mini tour’ di sekolah, universti dan pejabat selepas mendapat ilham hasil kajian universiti tempatan dan juga Singapura.

Ini merupakan kempen yang baru dimulakan dengan hasil kajian daripada dua pengkaji daripada pensyarah universiti tempatan dan Singapura termasuk Pengarah Urusan MNI, Datuk Seri Paduka Perry Lim.

Kertas2MNI memberikan pendedahan kepada masyarakat tentang kebaikan menggunakan kertas seratus peratus kitar semula selain Kertas yang dihasilkan adalah daripada fiber yang boleh dikitar semula.

Antaranya dengan mempunyai nilai ekologi yang tinggi bagi membantu melindungi hutan-hutan, memelihara sumber air, dan mengurangkan karbon secara menyeluruh kerana proses penghasilannya menggunaan tenaga yang kurang selain ianya mesra alam. –MalaysiaGazette