KANGAR – Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin membuat laporan polis selepas menerima mesej berbaur ancaman dan ugutan yang membahayakan dirinya di laman Facebook, semalam.
Ketua Polis Perlis Noor Mushar Mohd berkata, Mohd Asri membuat laporan itu di Balai Polis Padang Besar kira-kira 6.30 petang semalam kerana bimbang keselamatan diri serta keluarganya.
“Mohd Asri menerima satu mesej daripada pemilik akuan Facebook bernama ‘Sandev Sandev’ kira-kira 6 petang semalam yang turut mengancam untuk memukulnya sehingga cedera parah. Pemilik Facebook tersebut turut memberikan nombor telefon dan meminta Mohd Asri menghubunginya,” katanya.
Beliau berkata, suspek turut meminta alamat Mohd Asri bagi membolehkannya memukul mufti itu.
Menurutnya kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – MalaysiaGazette