Pelabuhan Tanjung Pelepas

KUALA LUMPUR – Eksport menurun sedikit 0.5% kepada RM84.0 bilion tahun ke tahun pada Mac 2019.

Pada bulan Februari eksport susut 5.3 peratus.

Import juga mencatatkan sedikit penurunan sebanyak 0.1% tahun ke tahun kepada RM69.7 bilion.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, bagaimanapun, berasaskan bulan ke bulan, eksport mencatatkan pertumbuhan dua digit iaitu 26.2% daripada RM66.6 bilion.

Dalam terma pelarasan musim, eksport juga naik 7.4%.

Berasaskan bulan ke bulan, import juga melonjak 25.4% atau RM14.1 bilion daripada RM55.5 bilion. Dalam terma pelarasan musim, import juga meningkat 10.5%.

Berasaskan tahun ke tahun, kejatuhan eksport disebabkan oleh penurunan eksport ke Singapura (-RM773.6 juta), Jepun (-RM750.9 juta), Hong Kong (-RM725.4 juta), Kesatuan Eropah (-RM449.1 juta) dan Switzerland (-RM421.1 juta). Walau bagaimanapun, eksport meningkat ke China (+RM1.2 bilion), Taiwan (+RM739.9 juta) dan Thailand (+RM729.9 juta).

Menurutmya, Berasaskan tahun ke tahun, import yang rendah adalah dari Jepun (-RM665.5 juta), Indonesia (-RM601.2 juta), India (-RM571.8 juta), Switzerland (-RM570.8 juta) dan Singapura (-RM564.1 juta). Manakala, import lebih tinggi dari China (+RM1.8 bilion), Arab Saudi (+RM587.2 juta) dan Amerika Syarikat (+RM558.3 ​​juta).

Pada suku tahun pertama 2019, eksport merekodkan kejatuhan sebanyak 0.7% tahun ke tahun kepada RM236.0 bilion.

Eksport semula yang bernilai RM43.1 bilion jatuh 10.2% tahun ke tahun dan menyumbang 18.3% daripada jumlah eksport.

Manakala eksport domestik naik 1.7% kepada RM192.9 bilion berbanding tahun lalu.

Menurutnya, import juga mencatatkan penurunan sebanyak 2.5% tahun ke tahun kepada RM199.1 bilion.

Berasaskan suku tahun ke suku tahun, eksport jatuh 10.8% daripada RM264.8 bilion dan import menyusut 13.4% daripada RM229.9 bilion.

Kemerosotan eksport disebabkan oleh penurunan eksport ke Hong Kong (-RM1.9 bilion), Indonesia (-RM1.3 bilion), Jepun (-RM1.3 bilion), Switzerland (-RM1.0 bilion) dan Turki (-RM539.3 juta).

Walau bagaimanapun, eksport meningkat ke China (+RM2.0 bilion), Taiwan (+RM1.5 bilion) dan Thailand (+RM1.4 bilion).
Berasaskan tahun ke tahun, import berkurang terutamanya dari Singapura (-RM3.3 bilion), Kesatuan Eropah (-RM1.7 bilion), India (-RM1.4 bilion), Switzerland (-RM1.3 bilion) dan Indonesia (-RM891.2 juta).

Manakala, import lebih tinggi dari Arab Saudi (+RM2.4 bilion) dan China (+RM1.1 bilion).

Jumlah dagangan yang bernilai RM153.7 bilion menurun RM518.6 juta atau 0.3% pada Mac 2019.

Bagaimanapun, ia meningkat RM31.6 bilion atau 25.9% berbanding Februari 2019.

Lebihan dagangan adalah RM14.4 bilion, menyusut RM318.5 juta (-2.2%) berbanding setahun lalu namun ia melonjak 30.0% atau RM3.3 bilion berbanding bulan sebelumnya.

  • MalaysiaGazette