KUALA LUMPUR – FGV Holdings Berhad (FGV) dalam proses membubarkan dua syarikatnya menjelang akhir tahun 2019.

Dua syarikat ini ialah Felda Engineering Services Sdn. Bhd. (Felda Engineering) dan Felda Properties Sdn. Bhd. (Felda Properties) yang merupakan entiti bukan perniagaan teras FGV.

Menurut satu kenyataan, FGV telah berbincang dengan Felda dan Koperasi Permodalan Felda Malaysia Berhad (KPF) mengenai potensi pengambilalihan Felda Engineering dan Felda Properties.

“Felda dan KPF tidak bersetuju untuk memperoleh kedua-dua syarikat ini,” kata kenyataan itu.

Rancangan pembubaran syarikat itu merupakan sebahagian daripada program transformasi FGV dengan memberi tumpuan untuk mempertingkatkan kecekapan, akauntabiliti dan keuntungan.

FGV mempunyai kira – kira 100 syarikat yang mana 93 daripadanya adalah syarikat yang aktif dan beroperasi, walaupun beberapa daripadanya tidak menguntungkan atau diurus dengan baik.

Felda Engineering dan Felda Properties masing-masing diperbadankan pada 1994 dan 1995 untuk menyokong projek perumahan dan pembinaan untuk Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).

Sejak penyenaraian FGV pada 2012, anak syarikat Felda, Felda Investment Corp (FIC) telah mengambilalih sebahagian daripada kerja–kerja di bawah Felda Engineering dan Felda Properties.

Menurut kenyataan itu, selaras dengan usaha membubarkan syarikat terbabit, FGV telah menawarkan pakej pemberhentian kepada 135 pekerja.

Katanya, setiap pekerja yang terjejas akan menerima antara 10 dan 30 gaji bulanan semasa, dan ia bergantung kepada tempoh perkhidmatan di FGV.

“Kesemua 135 pekerja juga akan menerima liputan insurans perubatan penuh sehingga 31 Disember 2019.

“Selain daripada itu, FGV juga menyediakan sokongan penempatan kepada semua pekerja terjejas untuk membantu memudahkan peralihan yang lancar,” kata kenyataan itu.

Sejak pihak pengurusan FGV membuat keputusan untuk membubarkan kedua–dua syarikat ini setahun yang lalu, sejumlah 23 pekerja dari Felda Engineering dan Felda Properties telah diserap ke bahagian-bahagian lain di dalam FGV, ujarnya.

Jelas kenyataan itu, FGV akan terus membantu sebaik mungkin untuk mencari peluang–peluang penempatan dengan matlamat membolehkan semua perkerja yang terjejas kembali bekerja. – MalaysiaGazette