Kempen Pilihan Raya Kecil Cameron Highlands menjadi sedikit riuh pada Rabu apabila pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang bertembung dengan sukarelawan kempen antipemansuhan hukuman mati.
Lim Kit Siang

KUALA LUMPUR – Terkenal dengan kelantangan serta kritikan ‘pedas’ yang ditujukan kepada kerajaan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang hanya membisu seribu bahasa dalam pelbagai isu penting dalam negara sejak kebelakangan ini.

Malah pernah pada satu ketika, Najib yang juga bekas Presiden UMNO dan Barisan Nasional meminta Kit Siang menghentikan segala obsesi beliau terhadapnya dan meminta beliau menumpukan kepada isu-isu berkaitan manifesto kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Namun sejak sekian lama, akhirnya Kit Siang yang juga merupakan Penasihat DAP mendedahkan punca mengapa beliau menghilangkan diri daripada bersuara.

Kata Kit Siang, beliau terkesima dengan ‘penipuan’ yang ditularkan dalam laman media sosial dengan menggambarkan dirinya sebagai satu ancaman paling besar untuk masyarakat Melayu dan Islam di negara ini.

“Terima kasih dengan era permodenan teknologi pada masa kini yang juga tidak kira hebatnya dalam menyebarkan penipuan jahat dengan begitu pantas sekali.

“Sejak tahun lepas, ada kiriman dua keping imej saya yang telah disunting dengan menggambarkan perwatakan diri saya seolah-olah adalah ancaman besar kepada Melayu dan Islam manakala dalam kalangan bukan Melayu juga, gambaran negatif kononnya saya menjual hak kepentingan golongan itu.

“Ada dua imej yang telah dikirimkan kepada saya dalam Whatsapp menunjukan diri saya sebagai ‘tok dalang’ dengan logo PKR, Bersatu dan Amanah manakala satu lagi gambar saya memberikan arahan kepada Perdana Menteri sambil diperhatikan oleh Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Mohamad Sabu.

“Ini adalah satu penipuan yang sangat besar serta fitnah semata-mata. Saya bukan ancaman kepada yang Islam dan Melayu mahupun kaum lain di negara ini. Sekaligus, ini satu situasi jika anda buat salah, jika tidak buat juga salah,” tulisnya dalam laman blog beliau dari Sandakan, Sabah hari ini.

Kata Kit Siang lagi, kini Malaysia sudah masuk satu fasa politik yang mana ia sangat ganas, bertoksik serta penuh kebencian antara kaum dan agama dengan bermodalkan pembohongan sehingga perpecahan serta polarisasi yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

“Ini juga mengapa kelmarin, ketika ceramah di Kampung Mangkalinau, saya telah tegaskan Pilihan Raya Kecil (PRK) Sandakan pada 11 Mei nanti adalah sangat penting untuk membina sebuah Malaysia baharu, Sabah baharu dan Sandakan baharu.

“Politik kebencian, pembohongan serta kepalsuan yang sedang berlaku ini mesti dengan segera dikalahkan.

“Malaysia Baharu hanya boleh dicapai seandainya semua rakyat tanpa mengira kaum, agama, rantau atau latar belakang sosio-ekonomi, mampu membangunkan potensi keupayaan mereka sepenuhnya dengan membuka jalan bagi Malaysia untuk bersaing dengan seluruh dunia dan bukannya bersaing dengan satu sama lain,” katanya.

Tulis Kit Siang lagi, kemenangan Vivian Wong, calon DAP untuk PH adalah salah satu cara bagi meningkatkan jumlah Ahli Parlimen dalam kalangan mereka bagi menyokong pindaan Perlembagaan Malaysia.

“Baru-baru kita gagal lakukan pindaan Perlembagaan bagi mengembalikan hak Sabah, Sarawak kerana kekurangan sokongan dalam Parlimen. Kemenangan Vivian adalah satu kemestian bagi mengorak langkah ini,” ujar beliau.

Kit Siang juga menyentuh tentang kesungguhan PH serta komitmen dalam objektif utama mereka dalam mengurangkan kos sara hidup, pembaharuan institusi, pertumbuhan ekonomi, pemulihan kuasa Sabah, Sarawak selain membina Malaysia yang inklusif serta sederhana. –MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast