Ahli panel, Najib Saahari bercakap pada Bicara Persada Ke-52 Bertajuk Tabung Haji 1.25% di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 03 MEI 2019

BANGI – Tabung Haji (TH) digesa agar memecahkan dasar pelaburannya kepada dua konsep iaitu berteraskan kepada pelaburan simpanan dan pelaburan untung rugi.

Bagi penganalisa pasaran, Najib Saahari, sudah tiba masanya untuk TH membuat dasar berkenaan bagi mengurangkan beban kerugian yang dihadapinya setiap tahun.

“Tabung haji kena ambil langkah untuk pecahkan buat macam bank.

“Ada yang untuk pelaburan untung dan rugi kita tanggung bersama dan satu lagi untuk simpanan pergi ke haji. Jadi yang ini kita boleh jamin sebab orang nak pergi haji dan jaminan itu mungkin sikit kita boleh elakkan tolak jaminan 100 peratus,” katanya pada Bicara Persada ke 52 bertajuk Tabung Haji 1.25 peratus. Masih bersinar kan menteri esok di Canselori, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), hari ini.

Antara yang hadir pada majlis itu adalah bekas Naib Canselor UKM, Prof Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali, dan pensyarah Universiti Malaya (UM), Prof Dr Mohd Nazari Ismail.

Program itu hari ini membincangkan mengenai kadar hibah bagi tahun kewangan 2018 iaitu sebanyak 1.25 peratus yang diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mujahid Yusof Rawa.

Menurut Najib lagi, TH perlu mengambil langkah itu bagi memastikan konsep untung rugi itu boleh diseret kedua-dua pihak antara pihak TH dan pelabur.

Malah ia boleh mengelakkan TH daripada menanggung kerugian 100 peratus.

“Kalau kita pisahkan mereka masa boleh simpan dalam Tabung Haji, pelaburan syariah zakat dibayar tapi ambil skim satu lagi di mana keuntungan dan kerugian dikongsi bersama,” katanya lagi.

Mujahid pada 5 April lalu mengumumkan pengagihan berjumlah RM913 juta kepada semua pendeposit bagi tahun kewangan 2018.

Malah beliau berkata pelan penstrukturan yang dilaksanakan membuktikan keprihatinan kerajaan bagi menyelamatkan TH demi kepentingan 9.3 juta pendeposit. – MalaysiaGazette