Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dasuki
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dasuki berucap sempena Himpunan Pertahan Kedaulatan Islam 405 anjuran Pembela Ummah di hadapan Kompleks Sogo, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 04 MEI 2019.

KUALA LUMPUR – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mempersoalkan pihak polis yang gagal menahan pemimpin DAP khususnya bergelar menteri didakwa bertanggungjawab di sebalik kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, tahun lalu.

Beliau menegaskan, pihak polis sepatutnya mengambil tindakan ke atas pemimpin DAP berkenaan kerana didakwa menghasut masyarakat India dan penganut Hindu untuk berada di sebuah kuil di Subang Jaya, tahun lepas.

“Ada orang kata kita berhimpun hari ini mainkan sentimen kaum dan agama. Betul atau tidak? Siapa mainkan sentimen kaum dan agama ini?

“Hari ini Hari Bomba Sedunia. Hari ini kita memperingati kematian perginya Allahyarham Adib. Di mana Exco DAP yang mainkan sentimen perkauman?

‘Mana Ganabatirau…mana dia menteri-menteri India yang buat kenyataan bersama menghasut orang India, menghasut orang Hindu untuk berkumpul pada malam Adib dibunuh?

“Sepatutnya mereka semua ini ditangkap, Wathya Moorthy ditangkap, Kulasegaran ditangkap,” katanya berucap pada Himpunan Pertahan Kedaulatan Islam (405) di luar pekarangan pusat beli-belah Sogo, di sini, hari ini.

MGF040519_HIMPUNAN PERTAHAN KEDAULATAN39
Orang ramai yang hadir berkumpul sempena Himpunan Pertahan Kedaulatan Islam 405 anjuran Pembela Ummah di hadapan Kompleks Sogo, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 04 MEI 2019

Hadir sama Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man; Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Muhammad Khalil Abdul Hadi; Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (Ummah), Aminuddin Yahya; Pengerusi Gabungan Gerakan Perpaduan Kebangsaan (GerakPadu), Datuk Mohd Razlan Rafii dan Pengarah Himpunan 405, Kamaruzaman Mohamad.

Pada awal pagi 28 November 2018, seorang anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya parah, manakala jentera dinaiki turut dirosakkan sekumpulan perusuh yang berhimpun di sekitar Kuil Maha Mariamman, Seafield, Subang Jaya.

Muhammad Adib bagaimanapun menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember 2018 di Institut Jantung Negara (IJN) selepas 21 hari bertarung nyawa.

Pada 18 Jan lalu, pengurusan kes inkues bagi menentukan punca kematian Muhammad Adib, 24, telah didengar di Mahkamah Sesyen Shah Alam dan prosiding inkues dijalankan di hadapan Hakim Rofiah Mohamad yang bersidang sebagai Koroner. – MalaysiaGazette