Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali bercakap ketika sesi sidang media pada Majlis Penyampaian Bantuan Ehsan Dan Penutupan Pusat Pemindahan di Dewan Serbaguna MPAJ AU2, Taman Keramat, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 04 MEI 2019

AMPANG – Kerajaan perlu meneliti terlebih dahulu status pemilikan setiap unit Flat Taman Keramat Permai di AU2 Keramat, Hulu Kelang yang terjejas akibat keretakan pada 26 April lalu.

Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, tidak ada masalah untuk kerajaan membangunkan semula flat berkenaan di tempat yang sama.

Ahli Parlimen Gombak merangkap Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu bagaimanapun mengakui status pemilikan unit Flat yang menempatkan 222 penghuni secara keseluruhannya perlu dikaji kerajaan.

“Dasar kerajaan hari ini menggalakkan pembangunan semula bangunan lama namun kita kena kaji dan melihat semula pemilikan unit tersebut.

“Sekiranya dimiliki pemaju ianya memudahkan kerja pemindahan penghuni asal dan pembinaan semula flat usang tiga dekad itu. Jika dimiliki individu, ia perlukan persetujuan penduduk asal rumah itu.

“Namun dasar pembangunan semula rumah berkenaan akan dapat meningkatkan lagi nilai hartanah dan kita dapat menyelesaikan masalah pendawaian elektrik, sistem saliran paip lama dan keselesaan rumah dengan tiga bilik berkeluasan selesa dan besar termasuk kemudahan dewan, surau dan tempat beriadah boleh dijamin kerajaan,” tegasnya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata demikian selepas hadir menyampaikan Bantuan Ehsan RM500 kepada penghuni Flat Keramat Permai yang terjejas akibat keretakan pada 26 April lalu yang ditempatkan sementara di Dewan Serbaguna MPAJ AU2 dan penutupan Pusat Pemindahan itu hari ini.

Timbalan Presiden PKR itu berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada wujud keperluan untuk kerajaan untuk membangunkan semula flat berkenaan yang sudah usang 30 tahun dengan serba kekurangan untuk menjamin keselamatan penduduk asal untuk jangka masa panjang.

Menurutnya, sebahagian besar penduduk asal flat berkenaan sudah pulang ke unit masing masing selepas disahkan selamat oleh pihak berkuasa kerajaan untuk fokus persiapan ibadah Ramadan Isnin ini.

“Kerajaan perlu mengkaji secara mendalam dan perlu mendapatkan persetujuan daripada pemilik-pemilik unit asal di pangsapuri berkenaan untuk sebarang usaha pembangunan semula,” tegasnya lagi. – MalaysiaGazette