Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Cubaan dua lelaki mahu menyeludup keluar 1,450 liter minyak petrol di perairan Pulau Bum Bum dekat Semporna Sabah semalam berjaya dipatahkan sepasukan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Dalam satu kenyataan Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Norrimi Hassan berkata, kedua-dua lelaki berumur 31 dan 35 tahun itu disedari apabila pergerakan mereka yang menggunakan dua buah bot untuk mengangkut 58 tong minyak dihalang oleh anggota peronda pada pukul 8 pagi.

“Anggota cuba menahan kedua- dua bot itu selepas mendapati ianya bergerak dalam keadaan mencurigakan, namun juragan bot bertindak memecut laju bot apabila ternampak peronda sebelum berjaya ditahan.

“Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua juragan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah dan di dalam ruangan bot terdapat 58 tong petrol,” katanya.

Norrimi dalam pada itu berkata penahanan itu merupakan kes ketiga setakat ini direkodkan Zon Maritim Semporna bagi tahun 2019.

“Kes tangkapan pertama dan kedua membabitkan aktiviti penyeludupan bahan bakar adalah pada bulan Februari dan April lalu serta kali melibatkan penyeludupan 58 tong minyak petrol,” ujarnya.

Menurut beliau lagi, pihaknya akan meningkatkan lagi rondaan dari semasa ke semasa bagi mengekang perlanggaran undang-undang dan perlakuan jenayah di perairan Semporna.

Sehubungan itu, beliau meminta orang memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat mahupun aduan ke Zon Maritim Semporna di talian 089-782619 atau MERS 999. – MalaysiaGazette