KUALA LUMPUR-Sultan Johor Sultan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menyerahkan tanah milik baginda di Bukit Chagar kepada kerajaan bagi pembangunan projek Sistem Transit Rapid (RTS).
Setiausaha baginda, Datuk Jaba Mohd. Noh berkata, Sultan Ibrahim kecewa apabila satu laporan mengaitkan isu peningkatan projek RTS itu dengan sebidang tanah milik baginda.
Ini menurutnya, baginda tidak dimaklumkan tanah di Bukit Chagar itu terlibat dengan projek berkenaan.
“Sekiranya benar tanah milik Baginda Tuanku di Bukit Chagar tersebut terlibat dengan projek RTS, maka baginda Tuanku berkenan untuk menyerahkan tanah yang terlibat kepada kerajaan tanpa sebarang kos.
“Dengan syarat, Projek RTS tersebut mestilah diteruskan dengan segera kerana baginda Tuanku amat memahami derita rakyat yang terpaksa berulang-alik ke Singapura.
“Sebagaimana yang sering ditegaskan sebelum ini, kepentingan rakyat dan kerajaan sentiasa menjadi keutamaan Baginda Tuanku dan setiap isu haruslah dibawa berbincang secara muafakat,” katanya dalam satu kenyataan.
Sebelum ini terdapat laporan yang mengatakan tanah seluas 4.5 hektar itu telah dipindahkan kepada Sultan Johor semasa pentadbiran kerajaan Barisan Nasional.
Menurut laporan berkenaan, tanah tersebut telah dipajak selama tiga tahun sehingga November 2020 kepada sebuah syarikat yang mengendalikan lot parkir.- MalaysiaGazette
















