Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berucap pada Persidangan Parti DAP 2019 di IDCC, Shah Alam, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 05 MEI 2019

SHAH ALAM – Ketua Umum Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim menasihatkan agar gabungan itu tidak mengenepikan dasar-dasarnya dalam melaksanakan manifesto dalam Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) lalu.

Menurut beliau, dirinya akan memastikan bahawa PH melaksanakan segala janji-janji yang telah diuar-uarkan dalam Buku Harapan.

“Saya dan rakan-rakan akan tentukan supaya apa yang kita janji dalam manifesto walaupun sebahagian telah dilaksana dan sebahagian harus kita teliti dan laksanakan cara berperingkat tapi prinsip dasar tidak harus tergelincir.

“Kita kena pegang kepada prinsip ini. Kita telah diberikan mandat dan Malaysia akan jaga dan perjuangan setiap rakyat di negara ini,” katanya dalam ucapan khas di Persidangan DAP ke 50, hari ini.

Beliau yang juga Presiden PKR turut memberikan amaran kepada mana-mana individu samada dalam kerajaan yang ingin mengemukakan sebarang dasar agar melihat ke bawah dan mementingkan keperluan rakyat sebagai keutamaan.

“Saya tegaskan perkara ini kerana walaupun kita akan mendukung keperluan rakyat dan beberapa isu dibangkitkan dan ada yang merasakan kesannya.

“Golongan cerdik pandai dan profesional, jangan melakar dasar tapi lupa bahawa pekebun kecil nelayan masih memerlukan pembelaan dan kita tidak terus berani laksamana satu dasar yang boleh membela rakyat,” katanya.

Antara lain, Anwar turut mengingatkan PH agar tidak salah langkah dalam mentadbir Putrajaya sekaligus menyebabkan gabungan itu dihukum rakyat pada pilihanraya umum akan datang.

“Kita harus yakin dan saya setuju apa yang digariskan Lim Guan Eng bahawa jangan kerana desakan semasa, jangan kerana kejutan sebentar menyebabkan kita tersalah langkah meningalkan landasan melupakan manifesto dan janji kepada rakyat,” katanya lagi. -MalaysiaGazette