KUALA LUMPUR- Terdapat gangguan dan pencerobohan siber di pejabat dan semua akaun media sosial milik Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam satu kenyataan di sini hari ini, Anwar berkata, masalah tersebut sedang diatasi namun menyarankan semua pihak berhati-hati dengan semua maklumat yang dihantar daripada pejabat beliau termasuk semua akaun media sosial di atas namanya.
“Gejala pencerobohan siber sebegini semakin merebak tatkala kita meluangkan seberapa banyak masa di ruang digital.
“Ternyata ia suatu impak yang negatif dalam keghairahan kita mencakup teknologi, dan senantiasa terdedah kepada individu yang menggunakan perkakas-perkakas digital sama ada untuk keuntungan segera atau membangkit ketidaktentuan dan kecelaruan.
“Sedang big data dan kecerdasan buatan (artificial intelligence) hanya akan dipacu dengan baik sekiranya ruang digital digunakan secara meluas, ia harus diseimbangkan dengan perlindungan data yang munasabah dan pendekatan yang baik dalam bagaimana data digunapakai. Isu-isu ini juga turut disentuh saya dalam mengajukan Digital Native Agenda (DNA23) yang kini menjadi fokus.
“Tatkala kami sedang menyelenggara permasalahan ini, ingin saya sarankan semua pihak untuk kekal waspada terkait segala maklumat yang datang dari pejabat saya, mahupun akaun-akaun media sosial atas nama saya.
“Kami sedang berusaha dengan pihak yang berkaitan dalam menyelesai isu pencerobohan siber ini,” katanya.- MalaysiaGazette
















