Tuesday, May 14, 2024
Home Nasional RM1.6 juta untuk bantuan makanan pelajar kurang mampu – Khalid

RM1.6 juta untuk bantuan makanan pelajar kurang mampu – Khalid

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad menyampaikan hadiah anugerah kepada pelajar orang kurang upaya pada Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang Yayasan Wilayah Persekutuan 2019 di Dewan Dr Siti Hasmah Puspanita, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 05 MEI 2019

KUALA LUMPUR – Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) memperuntukkan RM7.6 juta bagi tujuan pelaksanaan pelbagai skim dan program pembangunan pendidikan di Wilayah Persekutuan pada tahun ini.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, menerusi peruntukan itu, sebanyak RM1.6 juta disalurkan untuk program bantuan makanan untuk pelajar kurang berkemampuan.

Jelas beliau, ia melibatkan seramai 1,600 pelajar di 107 sekolah di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

“Selepas ini pelajar yang kurang berkemampuan tidak perlu lagi risau untuk ke sekolah jika tidak memiliki wang membeli makanan.

“Pada masa sama, mereka juga tidak perlu lagi bekerja sambilan untuk mencari wang saku bagi menampung persekolahan mereka.

“Tahun ini, sebanyak RM1.6 juta diperuntukan kepada pelajar kurang kemampuan melibat RM1.2 juta di 89 sekolah di Kuala Lumpur, RM200,000 di lapan sekolah di Labuan dan RM200,00 di 10 sekolah di Putrajaya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan majlis Anugerah Pelajar Cemerlang YWP 2018 di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif YWP, Zaizalnizam Zainum.

Khalid memberitahu, lebih 400 pelajar terdiri daripada anak Wilayah Persekutuan menerima Anugerah Pelajar Cemerlang Yayasan Wilayah Persekutuan (APCYWP) selepas mendapat keputusan terbaik dalam peperiksaan bagi tahun lalu

Beliau berkata, anugerah tersebut diberikan kepada pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Pentafsiran Tingkatan 3 (PT3), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

“Sesungguhnya majlis ini merupakan kesinambungan tradisi menerusi YWP untuk meraikan pelajar dan menjadi bukti bahawa kerajaan mengiktiraf komitmen pelajar yang berjaya tanpa mengira kaum dan parti politik,” katanya. – MalaysiaGazette