Shahir Adnan
Shahir Adnan

KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda IKATAN Malaysia mengecam kezaliman yang dilakukan terhadap pekerja di syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Antaranya Bio-xcell Malaysia, FELDA Engineering Services dan FELDA Properties.

“Menyorot kembali manifesto Pakatan Harapan selepas hampir setahun memegang tampuk pemerintahan negara, antara iltizam pimpinan mereka adalah untuk mewujudkan sejuta peluang pekerjaan dengan gaji minimum RM2,500 kepada rakyat Malaysia.

“Setakat ini, rakyat Malaysia masih ditipu dengan janji-janji kosong tersebut. Lebih parah apabila bukan sahaja tidak dapat mewujudkan peluang pekerjaan, bahkan mengurangkan pekerjaan sedia ada,” kata ketuanya, Shahir Adnan dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, Bio-xcell merupakan syarikat usahasama antara Malaysian Bioeconomy Development Corporation dan UEM Sunrise Berhad.

Malaysian Bioeconomy Development Corporation pula milik sepenuhnya Kementerian Kewangan Malaysia manakala UEM di bawah Khazanah.

Justeru, Dewan Pemuda IKATAN Malaysia menggesa Menteri Kewangan, Lim Guan Eng untuk memberikan penjelasan di atas arahan yang dikeluarkan untuk memberhentikan pekerja berkuatkuasa 24 jam.

“Dewan Pemuda IKATAN Malaysia juga menggesa penjelasan diberikan apabila 130 orang pekerja di FELDA Engineering Services dan FELDA Properies diberhentikan pekerjaan.

“Hal ini masih berlaku di saat syarikat-syarikat tersebut beroperasi lebih puluhan tahun dan membawa keuntungan kepada syarikat,” katanya lagi.-MalaysiaGazette