Tengku Maimun Tuan Mat

PUTRAJAYA – Kes berprofil tinggi tidak berbeza dengan kes-kes biasa di mahkamah, kata Datuk Tengku Maimun Tuan Mat.

Ketua Hakim Negara yang baharu itu menjelaskan, sesuatu kes dianggap berprofil tinggi kerana jangkaan masyarakat terhadap kes tersebut.

Padahal secara asasnya, katanya, kes yang dianggap berprofil tinggi itu dilayan sama dengan kes biasa.

“Dari sudut mahkamah, kita melayan sama dan tiada berbeza dengan kes lain. Kes dianggap berprofil tinggi kerana jangkaan orang ramai namun dari segi prosedur dan apa yang sepatutnya dalam perbicaraan terpakai seperti kes lain.

“Ia hanya pandangan masyarakat kerana dari sudut mahkamah, sama sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian pada pada sidang media khas sempena pelantikan sebagai Ketua Hakim Negara yang baharu pada 4 Mei di Istana Kehakiman di sini hari ini.

Beliau mengangkat sumpah jawatan dan sumpah setia sebagai Ketua Hakim Negara di hadapan Yang di-Pertuan Agong pagi tadi.

Tengku Maimun yang juga ketua hakim wanita pertama itu ditanya cabaran institusi kehakiman berdepan kes berprofil tinggi seperti perbicaraan kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika ini. – MalaysiaGazette