Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bercakap semasa temubual khas di Bangunan Perdana Putra,, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 06 MEI 2019

PUTRAJAYA – Selepas berbalas kenyataan berhubung pelbagai isu, hubungan di antara Tunku Ismail Sultan Ibrahim dengan Perdana Menteri semakin hangat apabila Tun Dr. Mahathir Mohamad menggelarkan Tunku Mahkota Johor (TMJ) itu sebagai budak kecil dan bodoh.

Malah beliau juga menasihatkan TMJ supaya diam jika tidak tahu apa-apa.

Dr. Mahathir bagaimanapun enggan mengulas mengenai hubungannya dengan Sultan Ibrahim.

“Saya tidak mahu ulas kerana jika saya cakap tidak elok (baginda) adalah sultan.

“Tetapi TMJ adalah budak kecil yang tidak tahu apa-apa dan bodoh.

“Lebih baik diam jika tidak tahu apa-apa,” katanya semasa ditanya mengenai dakwaan TMJ yang mengatakan jasa baik ayahandanya dilupakan.

Beliau berkata demikian dalam temubual khas bersama media tempatan sempena setahun kerajaan Pakatan Harapan di sini, hari ini.

Sabtu lalu, TMJ menerusi akaun Twitternya berkata, baik jasa baik ayahandanya dilupakan orang termasuklah menjelaskan hutang kerajaan dan mengurniakan tanah-tanah untuk pembangunan projek rakyat.

Tambahnya, terdapat pihak yang cuba untuk melakukan pembunuhan karakter terhadap keluarga diraja Johor itu.

Ketegangan terkini itu susulan sebuah laporan yang mengatakan projek Sistem Transit Rapid (RTS) sukar dilaksanakan kerana melibatkan tanah milik Sultan Johor.

Tanah seluas 4.5 hektar itu dikatakan telah dipindah milik kepada Sultan Ibrahim semasa pentadbiran kerajaan Barisan Nasional.

Baginda bagaimanapun memberitahu tidak dimaklumkan mengenai perkara itu namun bersedia untuk menyerahkan tanah berkenaan kepada kerajaan tanpa sebarang kos.

Titahnya, dengan pengurniaan tanah tersebut, kerajaan perlu melaksanakan projek RTS. -MalaysiaGazette