KUALA LUMPUR – Haval Malaysia melancarkan kempen “Haval Crazy Raya” dengan menawarkan jaminan perbatuan selama tujuh tahun bagi model Haval H1 manakala jaminan lapan tahun diberikan kepada model Haval H2.
Ketua Bahagian Pengedar Jualan, GO Auto Sales Sdn. Bhd., Suhaimi Nawawi berkata, pelanggan yang membeli Haval H2 turut menikmati perkhidmatan servis dan alat ganti percuma selama lima tahun.
“Haval adalah satu-satunya kenderaan SUV yang hadir dengan tawaran jaminan seperti itu di Malaysia.
“Tawaran ini juga secara tidak langsung meningkatkan keyakinan orang ramai bahawa Haval adalah peneraju kepada kenderaan utiliti serbaguna (SUV) yang diyakini di Malaysia dan seluruh dunia,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
GO Auto Sales Sdn. Bhd. merupakan pengedar kenderaan Haval di Malaysia turut menawarkan pakej pemilikan kenderaan yang menarik kepada pembeli yang membuat tempahan bermula hari ini sehingga 30 Jun 2019.
Menurut Suhaimi, pembeli boleh memilih satu daripada tiga pakej pemilikan yang ditawarkan bagi model Haval H2 bersesuaian dengan keinginan mereka, apa yang pasti pakej tersebut pastinya memberikan bonus kepada pembeli.- MalaysiaGazette