Peguam, Siti Kasim

KUALA LUMPUR – Peguam dan aktivis sosial, Siti Zabedah Kasim atau Siti Kasim berkata ramai peguam yang sedia untuk memberikan khidmat kepada peniaga atau usahawan di Kelantan yang ingin melawan larangan menghentikan sementara perniagaan di negeri itu.

Malah katannya, perkhidmatan itu akan diberikan percuma bagi membela mana-mana peniaga yang memerlukan bantuan tersebut.

“Jika ada perniagaan di Kelantan ingin mencabar (larangan sementara), ada banyak peguam yang bersedia melakukan pro-bono (khidmat guaman secara percuma) ini,” katanya di Twitter.

Semalam, satu surat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan melalui satu notis pada 6 Mei 2019 mengarahkan agar pengusaha kedai makan dan restoran di seluruh Kelantan menghentikan sementara perniagaan, bermula jam 8.30 hingga 10 malam sepanjang bulan Ramadan tahun ini

Notis yang ditandatangani oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Adnan Hussin itu juga mengarahkan agar semua pihak berkuasa tempatan (PBT) mengeluarkan arahan kepada pengusaha kedai makan dan restoran di kawasan masing-masing.

“Dimaklumkan semua pengusaha kedai makan dan restoran diarah menutup atau menghentikan sementara operasi dari jam 8.30 malam hingga 10 malam sepanjang bulan Ramadan,” tulis arahan berkenaan.

Mengulas lanjut, Siti berkata, arahan itu tidak sesuai untuk dipaktiskan di negara ini dan bertentangan dengan undang-undang.

“Mereka fikir mereka siapa? Bolehkah anda bayangkan jika mereka mula berkuasa di negara ini? Saya cukup yakin arahan ini tidak sesuai dengan undang-undang,” katanya lagi.

Larangan itu turut mendapat perhatian Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.

Anak kepada bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat itu berkata, tindakan itu adalah sesuatu yang tidak wajar. – MalaysiaGazette