Anggota polis berbaris menunggu giliran untuk membuang undi

SANDAKAN – Proses pengundian awal pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Sandakan melibatkan seramai 270 pengundi awal terdiri daripada anggota polis bermula 8 pagi ini selepas 2 pusat pengundian dibuka.

Pusat pengundian itu ialah Mes Pegawai Kanan Pasukan Polis Marin Sandakan membabitkan 170 pengundi, yang dibuka sehingga 2 petang, manakala proses pengundian di Rumah Kelab Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan membabitkan 100 pengundi berlangsung sehingga 12 tengah hari.

Proses pengundian awal ini disaksikan setiap ejen calon serta pemerhati pilihan raya terdiri daripada wakil organisasi dan pertubuhan bukan kerajaan yang dilantik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), di samping SPR menyiarkan proses pengundian secara langsung menerusi laman media sosial Facebook SPR.

Parlimen Sandakan mempunyai 2 kawasan DUN iaitu Tanjong Papat dan Elopura dengan 40,131 jumlah pemilih berdaftar terdiri daripada 39,856 pengundi biasa, 5 pengundi tidak hadir kerana berada di luar negara dan selebihnya pengundi awal.

Daripada jumlah keseluruhan itu, 51% merangkumi pengundi Cina dan 45% pengundi Bumiputera Islam, manakala selebihnya kaum lain.

Seramai 19,857 pengundi atau 49.48% daripada jumlah keseluruhan pengundi adalah lelaki, manakala pengundi wanita berjumlah 20,274 orang atau 50.52%.

PRK Parlimen Sandakan merupakan PRK ke-8 selepas PRU14 pada 9 Mei tahun lepas, dengan yang pertama diadakan di DUN Sungai Kandis pada 4 Ogos, DUN Balakong dan DUN Seri Setia (8 Sept), Parlimen Port Dickson (13 Okt), Parlimen Cameron Highlands (26 Jan), DUN Semenyih (2 Mac) dan DUN Rantau (13 April).

PRK Parlimen Sandakan menyaksikan pertembungan 5 penjuru membabitkan calon Pakatan Harapan (PH) Vivian Wong Shir Yee, yang akan menggunakan lambang DAP; calon Parti Bersatu Sabah (PBS) Linda Tsen Thau Lin dan 3 calon bebas iaitu bekas Amanah Sabah, Hamzah Abdullah; ahli perniagaan Chia Siew Yung dan bekas pegawai tadbir Pusat Khidmat Parlimen Sandakan, Sulaiman Samat.

Ia diadakan susulan kematian penyandang kerusi Parlimen Sandakan Stephen Wong Tien Fatt akibat serangan jantung pada 28 Mac lepas. – MalaysiaGazette