TORONTO – Kanada bersetuju untuk menerima semula 69 buah kontena yang tersalah hantar ke Filipina dan negara itu juga akan membayar kos pengangkutan, kata Manila yang akan menamatkan potensi pertikaian diplomatik antara kedua-dua buah negara.

Pada bulan lalu, Presiden Filipina, Rodrigo Duterte mengkritik Kanada terhadap sampah yang dihantar ke negaranya pada 2013 dan 2014 yang mana Ottawa berkata ia merupakan urusniaga komersial.

Sepucuk surat daripada Jabatan Kewangan Filipina berkata, pemulangan itu dilewatkan berikuran ‘kerenah birokrasi kerajaan Kanada’.

Kontena yang dilabel sebagai plastik untuk dikitar semula di Manila sebenarnya diisi dengan lampin, surat khabar dan botol minuman, lapor Reuters.

Pada 2016 sebuah mahkamah Filipina mengarahkan sampah tersebut dihantar pulang ke Kanada.

“Kami telah melakukan tawaran untuk menerima semula sampah Kanada dan terus berhubung dengan Filipina untuk menyelesaikan perincian yang tertunggak, termasuk isu perundangan dan kawal selia,” kata jurucakap Kementerian Luar Kanada, Guillaume Berube.

Isu tersebut bukan sahaja memberi kesan kepada hubungan dua hala.

Pada tahun lalu Duterte mengarahkan tentera untuk membatalkan pembelian 16 buah helikopter daripada Kanada bernilai AS$233 juta selepas Ottawa melahirkan kebimbangan mereka terhadap penggunaan helikopter itu ke atas pihak pemberontak.

Pada November 2017, Duterte mengkritik Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau pada sidang kemuncak negara Asia dan Barat kerana mengutarakan soalan mengenai peperangan terhadap dadah. – Agensi