Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad (tengah) beramah mesra dengan sebahagian petugas media ketika hadir pada Majlis Perhimpunan YB Menteri Wilayah Persekutuan Bersama Warga Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) di Pejabat KWP, Putrajaya. foto FAREEZ FADZIL, 08 MEI 2019

PUTRAJAYA – Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad mengakui ‘terlupa’ ada membuat janji untuk menyediakan rumah teres kepada 41 keluarga bekas pekerja ladang Bukit Jalil.

Ahli Parlimen Shah Alam memberitahu, beliau sejujurnya tidak ingat dengan janji tersebut namun bersedia untuk mencari jalan penyelesaian terhadap situasi yang berlaku.

Menurutnya, adalah sukar untuk menunaikan janji untuk memberikan rumah tersebut kerana ia memerlukan ruang yang jauh lebih besar berbanding jika dibina rumah dari jenis apartmen atau rumah bertingkat.

“Dilaporkan bahawa saya telah berjanji memberikan mereka rumah teres. Sejujurnya saya tidak ingat ada membuat janji itu.

“Tapi saya janji untuk cari jalan penyelesaian. Nak berikan rumah teres itu satu janji yang agak sukarlah dan ia memerlukan ruang yang jauh lebih besar berbanding kalau kita nak buat rumah yang jenis apartmen ataupun rumah bertingkat.

“Rumah teres kalau di Kuala Lumpur ni dengan nilai tanah yang begitu tinggi memang sukarlah, tapi kalau nak buat apratmen atau kondominium Insyaallah ianya boleh kita runding dan kita usahakan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perhimpunan dan Berbuka Puasa bersama warga Kementerian Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Khalid menjawab soalan wartawan yang bertanyakan mengenai rintihan 41 bekas pekerja ladang Bukit Jalil yang menerima notis merah agar mengosongkan tanah kerajaan yang dijadikan kediaman.

Mengulas lanjut Khalid berkata, beliau telah mengeluarkan arahan supaya notis yang diterima oleh bekas pekerja-pekerja ladang terbabit ditarik balik.

Katanya, perkara itu telah dimaklumkan dalam mesyuarat Kabinet yang berlangsung hari ini dan jalan penyelesaian segera akan diambil.

Dalam pada itu, Khalid tidak menafikan telah ada usaha untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh pekerja-pekerja ladang berkenaan sebelum ini yang jumlah sebenarnya melebihi 100 orang.

Bagaimanapun, 41 keluarga yang menerima notis merah tersebut merupakan mereka yang menolak tawaran bagi mendapatkan rumah.

Katanya, mereka menuntut penyelesaian yang lebih adil berbanding menerima sepenuhnya sebagaiman yang lain.

Pagi tadi, sebahagian 41 bekas pekerja Ladang Bukit Jalil menyatakan rasa kekesalan selepas menerima notis merah yang memaklumkan mereka dikehendaki mengosongkan tanah kerajaan itu sebelum 14 Mei ini.

Dakwa mereka notis itu ada yang ditampal di rumah ibadat Hindu yang terletak di situ dan diserahkan di tangan penduduk di situ oleh pegawai PTGWP diiringi penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur semalam.

Bagaimanapun penduduk berkenaan meminta kerajaan menunaikan janji penyediaan rumah teres dan empat ekar tanah yang dipersetujui sebelum ini. – MalaysiaGazette

https://malaysiagazette.com/blog/2019/05/08/kami-tidak-akan-berganjak-penduduk-ladang-bukit-jalil/

https://malaysiagazette.com/blog/2019/05/08/menteri-lupa-maklumkan-kepada-pengarah-pejabat-tanah/