Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berucap pada Perutusan Perdana Setahun Malaysia Baharu di Pusat Konvesyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 09 MEI 2019

PUTRAJAYA – Cabaran yang dihadapi oleh kerajaan pada hari ini bukan sahaja berkisar soal kos hidup rakyat malah apa yang lebih menekan menurut Perdana Menteri adalah kewujudan satu gerakan yang mahu memperlihatkan kerajaan berusia setahun itu sebagai pemerintah yang tidak peduli mengenai Islam dan Melayu.

Mereka juga menggambarkan kerajaan berhasrat untuk melupuskan sistem beraja dan hanya akur kepada kehendak golongan bukan Islam dan bukan Melayu.

Menurut Tun Dr. Mahathir Mohamad, gerakan itu didalangi oleh mereka yang tewas dalam pilihan raya dan takut menghadapi proses undang-undang.

Maka golongan tersebut katanya, sanggup bergabung dan kononnya memperjuangkan prinsip mempertahankan Raja-Raja, kedudukan orang Melayu dan kedaulatan Islam.

Malah Dr. Mahathir juga menyifatkan perjuangan yang kononnya mempertahankan Melayu dan Islam itu sebenarnya adalah perjuangan untuk mempertahankan perompak-perompak negara.

“Di manakah mereka ketika pemimpin UMNO mencuri dan menjarah harta Negara menerusi 1Malaysia Development Bhd. (1MDB), Tabung Haji dan Felda serta lain-lain institusi Kerajaan seperti KWAP dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja?

“Kerana itu, perjuangan yang kononnya untuk mempertahankan Melayu dan Islam tidak lain dari mempertahankan perompak-perompak negara yang berharap jika kerajaan ini jatuh maka kes-kes yang mereka hadapi akan gugur dan mereka tidak perlu bertanggungjawab dengan dosa dan kerosakan yang mereka telah lakukan.

“Pesanan saya, cukup-cukuplah menggunakan isu perkauman dan agama untuk kepentingan politik,” katanya ketika menyampaikan Perutusan Perdana Setahun Malaysia Baharu di sini hari ini.

Tambah Dr. Mahathir, amatlah mengharainkan apabila melihat PAS dan UMNO boleh bergabung dan bekerjasama.

Ini kerana semua maklum bahawa UMNO pernah dikafikarkan oleh pemimpin-pemimpin PAS malah Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak pernah menarik balik amanat beliau.

UMNO pula katanya, telah ditolak rakyat seperti mana yang dapat dilihat melalui keputusan pilihan raya ke-14 yang menyaksikan parti yang memerintah negara selama 60 tahun itu tersungkur.

Perkara itu berlaku kerana JMNO dipimpin oleh seorang kleptokrat yang bertanggung jawab membenarkan penjarahan besar-besaran dilakukan terhadap institusi-institusi Melayu dan Islam seperti Lembaga Tabung Haji, Felda, Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan sebagainya.

“Justeru, Pakatan Harapantelah tampil ke hadapan dan bersama dengan rakyat dari semua kaum untuk menyekat kebatilan yang dilakukan oleh Kerajaan UMNO dan BN.

“Apabila ini tercapai, hari ini PAS menyeru penyokongnya untuk bersama dengan UMNO untuk mempertahankan Melayu dan Islam,” katanya lagi.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast