Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Tenaga buruh Malaysia meningkat 2.2 peratus pada suku pertama tahun ini berbanding suku pertama 2018 kepada 15.53 juta orang.

Penduduk bekerja turut mencatatkan kenaikan 2.2 peratus dalam tempoh yang sama kepada 15.01 juta orang.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, perbandingan suku tahun ke suku tahun pula menunjukkan tenaga buruh dan penduduk bekerja meningkat 0.5 peratus berbanding suku tahun sebelumnya.

Kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) pada suku tahun ini naik 0.1 mata peratus berbanding suku keempat 2018 kepada 68.7 peratus.

Ini bermakna, 31.3 peratus lagi penduduk dalam kumpulan umur bekerja berada di luar tenaga buruh.

Pada suku tahun ini juga, kadar pengangguran kekal pada 3.3 peratus berbanding suku keempat 2018. Bilangan penganggur yang direkodkan adalah seramai 516.6 ribu orang, naik 1.5 peratus berbanding suku yang sama tahun lepas.

KPTB perempuan naik 0.1 mata peratus kepada 55.7 peratus

Menurutnya, KPTB perempuan pada suku pertama 2019 adalah 55.7 peratus, naik 0.1 mata peratus berbanding suku tahun sebelumnya.

KPTB perempuan dalam pasaran buruh bagi kumpulan umur prime age[1] iaitu 25-34 tahun (75.6%), 35-44 tahun (67.7%) dan 45-54 tahun (57.4%) adalah lebih tinggi berbanding KPTB perempuan di peringkat nasional.

Menurutnya, KPTB lelaki turut meningkat 0.2 mata peratus kepada 80.9 peratus pada suku pertama 2019.

Kumpulan umur yang mencatatkan KPTB melebihi 90 peratus ialah 25-34 tahun (96.6%), 35-44 tahun (97.8%) dan 45-54 tahun (95.0%).

Perempuan mewakili 39 peratus daripada tenaga buruh

Pada suku pertama 2019, tenaga buruh diwakili oleh 61.0 peratus lelaki (9.47 juta) dan 39.0 peratus perempuan (6.06 juta).

Bilangan tenaga buruh bagi kedua-dua lelaki dan perempuan meningkat masing-masing 50,700 orang dan 26,200 orang berbanding suku keempat 2018. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast