Polis mengawal pintu masuk Pearl Hotel yang diserang oleh tiga pemberontak. foto Agensi

QUETTA – Pasukan keselamatan Pakistan membunuh tiga pemberontak yang menyerang sebuah hotel mewah di bandar pelabuhan Gwadar.

Tiga pemberontak yang memakai pakaian tentera itu telah menyerang hotel Pearl Continental Hotel pada hari Sabtu hingga mengorbankan tiga pengawal keselamatan hotel, seorang kakitangan dan seorang anggota tentera laut dalam kejadian berbalas tembakan.

Mereka bersembunyi di tingkat teratas hotel selepas pasukan keselamatan tiba.

Pasukan keselamatan terpaksa membawa keluar tetamu hotel sebelum memulakan operasi memburu tiga pemberontak.

“Pasukan keselamatan telah menyelesaikan operasi tersebut,” kata ketua tentera itu dalam satu kenyataan sambil menambah ketiga-tiga penyerang terbunuh.

Balochistan, yang bersempadan dengan Iran dan Afghanistan, adalah wilayah termiskin di Pakistan tetapi mempunyai sumber gas asli dan pelbagai mineral.

Gwadar adalah pelabuhan strategik di Laut Arab yang sedang dibangunkan sebagai sebahagian daripada Koridor Ekonomi China Pakistan bernilai AS$ 60 bilion, yang merupakan sebahagian daripada projek infrastruktur Belt dan Road China.

Perdana Menteri, Imran Khan mengutuk serangan itu.

“Percubaan seperti itu, terutama di Balochistan adalah satu usaha untuk mensabotaj projek ekonomi dan kemakmuran Pakistan,” katanya.

Salah seorang pengawal keselamatan hotel terbunuh ketika cuba menahan tiga penyerang itu memasuki hotel.

Tentera berkata, penyerang melumpuhkan kamera CCTV di hotel dan menanam bahan peledak di semua akses menuju ke tingkat atas. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast