Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang

GEORGETOWN – Leorang lelaki 39 tahun warga Indonesia yang mahu pulang ke kampung halamannya di Medan nekad bersembunyi di dalam ruang tayar sebuah pesawat kargo di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang semalam tanpa mengetahui destinasi pesawat berkenaan seterusnya.

Sumber memberitahu Bernama hari ini bahawa pesawat kargo jenis Boeing 767 milik sebuah syarikat kurier dirancang untuk terbang ke Korea Selatan selepas selesainya kerja-kerja penyelenggaraan di lapangan terbang berkenaan.

“Lelaki itu dipercayai bersembunyi dalam beberapa buah pesawat lain yang ada di situ sebelum dia dikesan oleh petugas penyelenggaraan di ruang tayar pesawat kargo berkenaan. Ketika ditahan, dia hanya memiliki wang tunai sebanyak RM6 sebelum dia diserahkan kepada polis,” kata sumber itu.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya, DSP Jafri Md Zain ketika dihubungi Bernama berkata maklumat awal daripada lelaki yang sedang direman untuk siasatan lanjut itu mendapati dia memiliki pasport namun tiada permit kerja.

Jafri berkata polis juga sedang mengesan seorang lelaki yang menjadi pemilik kedai memproses ayam di Balik Pulau yang menjadi tempat warga Indonesia itu bekerja sejak sembilan bulan lepas tetapi tidak dibayar gaji sejak dua bulan lepas. – MalaysiaGazette