ringgitHarga saham di Bursa Malaysia tinggi semasa dibuka hari ini, didorong beberapa sokongan belian dalam saham wajaran tinggi terpilih walaupun pasaran saham Asia mencatatkan prestasi bercampur-campur.
Gambar hiasan
KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia terus mencatatkan pemulihan dalam dagangan awal pagi ini berikutan aktiviti belian sejajar dengan lantunan semula pasaran saham global selepas Presiden Amerika Syarikat Donald Trump memberi jaminan rundingan perdagangan yang berjaya dengan China.

Pada 9.14 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 4.14 mata kepada 1,603.33.

Indeks itu dibuka pada 1,601.43, 2.24 mata lebih tinggi daripada paras penutup 1,599.19 semalam.

Kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 253 berbanding 90, dengan 176 kaunter tidak berubah, 1,392 tidak diniagakan dan 24 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 384.02 juta saham bernilai RM109.76 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd berkata pemulihan semalaman dalam kebanyakan indeks utama dijangka terus memberi rangsangan pemulihan di Bursa Malaysia dalam tempoh terdekat ini.

Pada Selasa, kedua-duae Dow dan S&P 500 meningkat 0.8 peratus setiap satu untuk ditutup masing-masing kepada 25,532.05 dan 2,834.41.

Firma penyelidikan itu berkata sentimen pasaran juga mendapat rangsangan daripada potensi perjanjian perdagangan apabila Trump dan rakan sejawatnya dari China Xi Jinping dijadualkan bertemu pada sidang kemuncak G20 di Jepun pada bulan depan.

“Meskipun kebimbangan telah mereda dan lantunan semula kukuh dijangkakan, kami masih merasakan keadaan turun naik tetap berterusan dalam masa terdekat ini kerana masih lagi tiada sebarang keputusan muktamad berhubung pertikaian perdagangan itu.

“Oleh itu, penurunan dan peningkatan FBM KLCI akan masih lagi sebahagian besarnya ditentukan oleh perkembangan isu itu bagi tempoh yang lebih lama,” kata Malacca Securities.

Pada masa ini, indeks utama itu mungkin pulih melepasi paras 1,600 hingga 1,610 dengan paras sokongan dilihat masing-masing pada 1,580 dan 1,572.

Keseluruhannya, sentimen pasaran yang bertambah baik boleh menyediakan rangsangan kepada saham berharga rendah dan keseluruhan saham dalam pasaran untuk mencatatkan pemulihan.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank meningkat satu sen kepada RM8.97, Public Bank menokok enam sen kepada RM22.52, manakala Petronas Chemicals turun tiga sen kepada RM8.78 dan Tenaga berkurangan 10 sen kepada RM11.70.

Dalam kalangan saham yang diniagakan cergas, Dayang Enterpises meningkat dua sen kepada RM1.19, Iris naik satu sen kepada 16 sen dan Ho Hup Construction menokok 7.5 sen kepada 66 sen.

Lambo turun setengah sen kepada 7.5 sen.

Indeks FBM Emas meningkat 31.70 mata kepada 11,290.43, Indeks FBMT 100 naik 35.10 mata kepada 11,131.81 dan Indeks FBM Emas Shariah menokok 41.54 mata kepada 11,418.44.

FBM 70 menambah 69.71 mata kepada 13,886.16 dan FBM Ace naik 35.27 mata kepada 4,430.42.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 26.58 mata kepada 16,564.78 tetapi Indeks Perladangan susut sebanyak 60.88 mata kepada 6,852.41 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.65 mata kepada 163.26.

— BERNAMA