Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

BANGI – Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata masalah mental di negara ini semakin meruncing apabila dilaporkan enam daripada 10 belia di negara ini mengalami masalah kesihatan mental.

Justeru itu, isu kesihatan mental di kalangan golongan itu akan dibawa ke perbincangan di peringkat nasional.

Katanya, beliau akan menggerakkan kementeriannya bagi mencari jalan dalam menangani permasalahan ini.

“Kes ini sememangnya tragedi dan golongan muda yang terkesan dengan masalah mental ini antara 6 daripada 10 belia.

“Jumlah yang melakukan bunuh diri juga adalah golongan muda dan ini adalah masalah yang serius dan perlu diatasi segera.

“Mesti ada perbincangan di peringkat nasional tentang perkara ini. Dan kita kena bekerjasama untuk tangani permasalahan ini,” katanya kepada media selepas mengiringi Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam merasmikan Majlis Hari Belia Negara di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM, sebentar tadi.

Ahli Parlimen Muar itu merujuk kepada tragedi yang menimpa seorang remaja di Kuching berusia 16 tahun yang nekad terjun dari tingkat tiga sebuah bangunan.

Mangsa meninggal dunia selepas menerima undian netizen sebanyak 69 peratus yang memilih supaya beliau membunuh diri.

Malah katanya, tragedi bunuh diri di Kuching misalannya tidak seharusnya berlaku.

Oleh itu, satu sesi dialog akan diadakan pada Jumaat ini di Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) bagi membincangkan isu masalah mental di kalangan belia dibincangkan.

“Saya nak dapatkan pendapat dan mendengar idea-idea lain yang kita boleh keluarkan untuk atasi perkara ini,” katanya lagi.

Oktober tahun lalu, Syed Saddiq turut dilaporkan berkata satu daripada 10 anak muda atau 10 peratus daripada 5.5 juta belia di negara ini pernah terfikir untuk membunuh diri.

Statistik itu berdasarkan laporan Kajian Kesihatan Mental Kebangsaan 2017 yang diterima beliau. -MalaysiaGazette