BEIJING – Seorang lelaki ditahan di timur China atas kesalahan memberi nama yang ‘diharamkan’ kepada anjing-anjingnya.
Menurut Beijing News, pembiak anjing yang bernama Ban itu ditahan polis selepas memuat naik nama dua anjingnya – Chengguan dan Xieguan di WeChat.
Nama-nama itu mencetuskan kontroversi kerana ia merujuk kepada kerajaan dan kakitangan awam.
“Chengguan” adalah kakitangan di kawasan urban yang dilantik untuk menangani jenayah tahap rendah dan “Xieguan” pula merujuk kepada pekerja komuniti seperti pembantu trafik.
Media itu melaporkan, Ban memberi nama anjing-anjingnya untuk suka-suka.
Susulan itu, polis Yingzhou telah melancarkan siasatan segera ke atas lelaki itu yang didakwa menghina penjawat keselamatan undang-undang.
Mereka menambah, “selaras dengan peruntukan Undang-Undang Keselamatan Awam Republik Rakyat China”, dia mesti menghabiskan 10 hari di sebuah pusat tahanan pentadbiran di kota Xiangyang. – MalaysiaGazette