SHAH ALAM – Inkues kematian Muhammad Adib Mohd Kassim hari ini berlangsung dengan sesi penerangan saksi ke-24 tentang punca kecederaan anggota bomba itu.

Pakar Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Ahmad Hafizam Hasmi memulakan penjelasannya di hadapan Koroner Rofiah Mohamad menggunakan van Unit Perkhidmatan Bantuan dan Kecemasan (EMRS) berlainan, namun daripada model sama yang  terlibat semasa rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman pada 27 November tahun lalu.

Ia dilakukan di kawasan letak kereta di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Antara yang hadir adalah saksi ke-29, Profesor Dr Shahrom Abdul Wahid, barisan peguam mewakili keluarga Muhammad Adib dan pasukan pegawai pengendali selain beberapa anggota bomba dan polis yang membuat kawalan keselamatan.   

Sesi penerangan bermula daripada jam 10.30 pagi hingga 11:53 pagi.

Hafizam hadir semula ke Mahkamah Koroner untuk prosiding inkues ini sejak Selasa lalu bagi mengukuhkan teorinya sebelum ini bahawa Allahyarham Muhammad Adib turun sendiri daripada van kemudian terjatuh ke bahu jalan selepas ditolak oleh kenderaan yang mengundur itu.

Bagaimanapun Shahrom yang merupakan pakar rujuk peguam Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, penyerang Muhammad Adib menghentak daun pintu lalu mengenai dada hingga tulang rusuk anggota bomba itu patah.

Turut dilakukan hari ini ialah demonstrasi ringkas van itu mengundur pada kelajuan 17 kilometer sejam. – MalaysiaGazette