Abdul Hamid Bador
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berucap pada Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Negara dan Naib Pengerusi PERKEP Malaysia di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 15 MEI 2019

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak pernah berdepan sebarang masalah atau kesukaran membuat liputan atau menjalankan tanggungjawab dalam sebarang majlis di lapangan, termasuk sidang media, sepanjang penubuhannya selama 212 tahun.

“Saya tidak mahu menjadikannya sebagai isu, lagipun ia langsung tidak menjejaskan saya” kata Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Seri Abdul Hamid Bador hari ini.

Beliau menyatakan demikian ketika diminta mengulas kenyataan Naib Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Junz Wong yang mewajibkan setiap anggota polis, khususnya Cawangan Khas, memperkenalkan diri semasa menghadiri setiap majlis anjuran parti itu di masa akan datang.

Abdul Hamid menjelaskan, orang ramai boleh memperkata apa sahaja namun ia tidak akan menjejaskan tanggungjawab pegawai Cawangan Khas atau polis semasa bertugas.

Ditanya apakah polis perlu akur sekiranya masih ditekan untuk memperkenalkan semasa hadir pada sesuatu majlis, Abdul Hamid berkata, beliau tidak melihat isu itu perlu diberi perhatian serius pihak atasan.

“Saya tak fikirkan begitu sebab saya rasa saya akan meminta sejumlah peruntukan belanjawan daripada Menteri Dalam Negeri untuk kami menyediakan plakad membawa bersama sebagai memperkenalkan identiti kami dan agensi kami ketika turun bertugas di lapangan selepas ini.

“Saya tak rasa mereka akan memaksa mana-mana orang untuk berbuat demikian (memperkenalkan diri).

“Jika benar mereka cenderung untuk melakukannya, saya akan menjadikan mandatori kepada anggota (SB) dan pegawai saya membawa bersama risalah (handbill) yang memperkenalkan diri ‘saya dari SB, saya daripada CID, saya daripada (SB),” katanya berseloroh ketika ditanya dalam sidang media di Bukit Aman.

Terdahulu beliau bersama timbalannya, Datuk Mazlan Mansor hadir ke Mess Pegawai Kanan Polis untuk majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas Jawatan Timbalan Ketua Polis Negara kepada Mazlan yang dilantik ke jawatan kedua tertinggi PDRM pada 9 Mei lalu.

Majlis disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Alwi Ibrahim yang hadir mewakili Menteri.

Turut berlangsung majlis Serah Terima Tugas Jawatan Pemangku Pengerusi Perkep Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman yang disaksikan oleh Isteri KPN, Datin Seri Norazrin Marzuki merangkap Pengerusi Perkep PDRM.

Ditanya apakah polis akan akur dengan desakan pihak berkenaan, Abdul Hamid berkata, beliau tidak faham kenapa ia dijadikan isu dan yang penting ialah kehadiran mereka polis berniat baik untuk menjaga keamanan.

“Kadang kadang mereka mengadakan sidang media wujud situasi panas nanti dan jika hadirnya polis di situ bolehlah tenteramkan keadaan situ dan itulah kelebihan ada jika polis di lokasi. Kalau dia nak larang-larang tu, biarlah,” katanya.- MalaysiaGazette