Datuk Seri Anwar Ibrahim
Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) bercakap kepada media pada Iftar Perdana di Hotel Tenera, Bangi, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 16 MEI 2019

BANGI – Tiada keperluan untuk menklasifikasikan semula dokumen tragedi berdarah 13 Mei 1969 kepada umum dan ia terserah kepada pengkaji sekarang untuk menentukannya.

Sebaliknya Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, ancaman perkauman sekarang lebih kritikal daripada insiden 13 Mei yang perlu ditangani segera dari segi polarisasi kaum.

“Itu biarlah pengkaji sejarah buat, tapi bagi saya, saya nak lihat kedepan dan ancaman sekarang ini ada naratif baharu tentang kaum.

“Ini bukan soal Melayu saja, ada yang anggap ala perkauman ini hanya di kalangan Melayu, tak benar.

“Saya dengar juga dalam kalangan kaum Cina dan India yang naratif di mana mereka itu keterlaluan, kalau anggap membasmi kemiskinan, kemiskinan ini mesti India.

“Kalau masalah perniagaan, ini pasal perniagaan Cina, orang Melayu yang ramai ini diketepikan.

“Jadi kita nak naratif ini (ditangani), kalau kita cakap kemiskinan, semua kaum mesti terlibat, peluang perniagaan semua kaum terkesan,” katanya pada sidang media dalam Iftar Perdana Wadah-Abim-PKPIM di Hotel Tenera, di sini, hari ini.

Anwar selaku Presiden PKR juga berkata, dalam menangani ancaman naratif itu, badan dan gerakan Islam seperti Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) perlu berperanan menjelaskan kepada masyarakat bahawa Islam yang sebenarnya tidak menimbulkan curiga dan kesangsian antara kaum.

“Tokoh dan gerakan Islam seperti Abim, Wadah dan PKPIM ini harus kedepan seperti untuk menjelaskan bahawa Islam yang diketengah dan difahamkan ini tidak seperti mana ditonjolkan oleh kelompok tertentu.

“Sejak 1979, Abim tekankan bahawa Islam di Malaysia tidak boleh lari daripada kenyataan untuk berbaik sangka dan memupuk semangat kekeluargaan di antara kaum,” katanya lagi. – MalaysiaGazette