BANGKOK – Thailand akan mengurangkan eksport getah sebanyak 126,240 tan pada minggu depan untuk tempoh empat bulan selepas negara itu terlewat melaksanakan perjanjian pemotongan bekalan dengan pengeluar serantau, kata Pihak Berkuasa Getah Thailand.

Thailand sepatutnya mengurangkan eksport getah asli pada 1 April lalu bersama-sama Indonesia dan Malaysia seperti mana dipersetujui Majlis Getah Tiga Pihak Antarabangsa (ITRC) yang dianggotai tiga negara itu pada Mac lalu.

Ketiga-tiga negara tersebut mengeluarkan 70 peratus getah asli dunia dan memutuskan untuk mengurangkan eksport sebanyak 240,000 tan metrik secara bersama untuk menstabilkan harga.

Bagaimanapun Thailand, pengeluar utama getah asli dunia, menangguhkan tindakan tersebut kerana pilihan raya umum pada Mac dan akan mengurangkan eksportnya pada 20 Mei hingga 19 September, kata Pemangku Gabenor pihak berkuasa itu, Yium Tavarolit.

“Thailand akan melaksanakannya seperti yang dipersetujui oleh tiga negara dan akan menilai keputusan itu setiap bulan,” katanya kepada Reuters.

“Jika harga tidak berganjak, kami akan mengkaji semula langkah itu,”.

Langkah tersebut diambil susulan pemeteraian perjanjian ITRC pada 2017 untuk mengurangkan eksport getah asli sebanyak 350,000 tan dalam tempoh tiga bulan.

Selain mengurangkan eksport, kumpulan tersebut juga bersetuju untuk mencuba meningkatkan penggunaannya di setiap negara  pengeluar seperti menggunakan getah dalam pembinaan jalan raya. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast