IPOH – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) hari ini menyangkal dakwaan kononnya institusi berkenaan tidak membenarkan penulisan tesis Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD) dalam bahasa Tamil.

Menurut Bahagian Komunikasi Korporat UPSI dalam kenyataan hari ini, Peraturan Akademik UPSI yang sedia diguna pakai membenarkan penulisan tesis atau disertasi dalam bahasa Tamil, Cina, Arab bagi program atau pengajian tersebut sejak Januari 2011.

“Pihak UPSI memandang serius terhadap dakwaan itu dan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan maklumat atau berita palsu,” menurut kenyataan itu.

Laporan yang dikeluarkan dalam sebuah akhbar Tamil hari ini mendakwa UPSI melaksanakan peraturan baharu iaitu tesis pengajian bahasa Tamil di peringkat sarjana dan PhD tidak boleh ditulis atau tidak boleh disediakan dalam bahasa Tamil.

Laporan itu juga mendakwa keputusan tersebut baharu dilaksanakan, bagaimanapun ia tidak menyebut tarikh pelaksanaan.- BERNAMA