Dewan Rakyat
Mohamed Hanipa Maidin

KAJANG – Ahli Parlimen Sepang, Hanipa Maidin akan membawa isu kebanjiran warga asing di kawasannya kepada pengetahuan Kementerian Dalam Negeri tidak lama lagi.

Beliau yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), berkata pihaknya bimbang kesan negatif sekiranya benar berlaku kebanjiran warga asing di negara ini terhadap kesejahteraan di sekitar Sepang.

“Biasanya, aduan yang diterima adalah berkaitan pelajar asing menetap lebih masa dan setengah daripada mereka terbabit dalam masalah sosial.

“Budaya ini yang perlu diambil tindakan sewajarnya.

“Ia bukan di bawah kementerian saya tetapi saya akan minta mereka (KDN) mencari penyelesaiannya,” katanya selepas merasmikan Majlis Berbuka Puasa dan Menyampaikan Sumbangan kepada Anak-anak Yatim tajaan Ehsan Group of Companies malam ini.

Menurut Hanipa, satu perbincangan akan diadakan di antara beliau KDN dan Jabatan Imigresen bagi mencari jalan penyelesaian kerana ia menyumbang kepada masalah sosial di kawasan itu.

“Kadang-kadang orang salah guna dan saya tahu pelajar yang overstay di negara ini. Banyak daripada mereka melahirkan masalah sosial dan kita akan ambil tindakan tapi saya biarkan kepada Kementerian Dalam Negeri,” katanya lagi.

Cyberjaya yang terletak dalam kawasan Sepang menjadi tumpuan baru-baru ini apabila terdapat kes bunuh di Kondominium Third Avenue melihatkan seorang penjawat awam.

Mayat Siti Kharina, 40, ditemui dalam keadaan sudah mereput dengan kesan kecederaan di leher dan dada. -MalaysiaGazette