KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak boleh membuat pusingan U dalam menangani masalah dengan peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Mengenakan pelbagai syarat termasuk menyenaraihitamkan peminjam terbabit sehingga sukar menjalani kehidupan seharian dan gagal mendapat pekerjaan juga suatu tindakan yang tidak sepatutnya dilakukan.
Tegas Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar, PH suatu ketika dahulu menentang keras setiap polisi yang dilakukan kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.
“Kita tidak boleh melakukan pusingan U dan kemudian melanjutkan polisi hukuman yang suatu ketika dahulu kita telah tentang secara keras.
“Menyenaraihitamkan peminjam sehingga ke tahap mereka tidak boleh berfungsi secara normal dalam masyarakat dan kehidupan kerja adalah sesuatu yang tidak dapat diterima sama sekali,” katanya menerusi ciapan Twitternya hari ini.
Beliau mengulas laporan media mengenai cadangan PTPTN untuk menghukum peminjam secara lebih keras dengan memperkenalkan semula sekatan ke luar negara.
Cadangan itu, pastinya mengecewakan ramai pengundi yang telah memberi sokongan kepada PH pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.
Sebelum PRU14, majoriti rakyat terpesona dengan janji manis PH termasuk pelaksanaan pendidikan percuma sehingga menyebabkan kerajaan BN gagal memenangi sokongan rakyat walaupun berkali-kali ditekankan bahawa semua janji itu hanya populis yang sukar dilaksanakan.
Walaupun PH telah memansuhkan larangan ke luar negara sebaik sahaja membentuk kerajaan baharu, malangnya selepas setahun, larangan tersebut dicadangkan semula pelaksanaannya. – MalaysiaGazette