Ketua Polis Daerah Tapah Supt Wan Azharuddin Wan Ismail berkata kemalangan pada 11.15 malam itu melibatkan sebuah lori jenis Isuzu, kenderaan pacuan empat roda jenis Pajero, Perodua Myvi dan Axia, Honda Accord serta dua buah treler.

KUANTAN – Teruja untuk mendapat wang mudah, seorang wanita warga emas kehilangan kesemua wang simpanannya berjumlah RM280,000 akibat ditipu tiga suspek yang baharu dikenalinya, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa yang berusia 73 tahun mendakwa semua wang itu diserahkan kepada tiga suspek termasuk seorang wanita yang memberitahu boleh menggandakan jumlah wang tersebut.

Mangsa mendakwa penyerahan wang berlaku di tempat letak kereta sebuah pusat membeli belah di sini yang mana seorang suspek lelaki telah membawa beg berisi wang itu ke dalam kedai atas alasan mahu mengira jumlahnya.

“Mangsa menunggu di tempat letak kereta bersama seorang lagi suspek lelaki, sebelum suspek itu meninggalkan mangsa berseorangan tanpa memaklumkan sebarang perkembangan dan terus gagal dikesan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohd Wazir berkata, mangsa mendakwa mempercayai ketiga-tiga suspek yang dikenalinya beberapa jam sebelum kejadian di sebuah pasar basah, kerana suspek wanita telah mengumpannya dengan pemberian wang saguhati kononnya daripada syarikat stesen minyak.

Mangsa mendakwa diberikan kad mata ganjaran dan dibawa ke stesen minyak di Beserah di sini, untuk mengambil wang tunai RM200 sebelum suspek menawarkan ‘perkhidmatan’ untuk menggandakan wang mangsa.

Suspek mendakwa wang yang akan diberikan adalah wang sebuah pertubuhan yang mahu mengelak daripada pembayaran cukai.

Mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini semalam, dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Pada kes berasingan, seorang pesara, 71, mendakwa kerugian RM5,200 selepas memindahkan wang itu ke dalam akaun yang kononnya diberikan oleh ‘pegawai polis’ bagi siasatan kes pengedaran dadah yang melibatkan namanya di Mahkamah Kota Kinabalu, Sabah.

Mangsa mendakwa ‘pegawai polis’ itu menghubunginya pada petang semalam, bagi memaklumkan akaun banknya akan dibekukan selama 45 hari bagi tujuan siasatan kes menyebabkan dia perlu memindahkan wang ke dalam akaun baharu. – Bernama