Kementerian Pendidikan Malaysia

KUALA LUMPUR- Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengesahkan telah mengadakan perbincangan dengan Suruhanjaya Tinggi Australia untuk melancarkan projek perintis pengajaran Bahasa Inggeris kepada kanak-kanak pra-sekolah bagi meningkatkan kemahiran berbahasa Inggeris.

KPM dalam kenyataan hari ini memaklumkan belum ada keputusan muktamad diambil berhubung cadangan tersebut.

“Bagaimanapun perbincangan masih berlangsung dan belum ada sebarang keputusan muktamad dibuat setakat ini.

“KPM akan terus mengambil usaha bagi meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris oleh murid di semua peringkat termasuk mereka yang mengikuti prasekolah selari dengan matlamat dan sasaran yang digariskan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 dan Roadmap Pengajaran Bahasa Inggeris (2015-2025),” katanya.

Semalam, sebuah akhbar berbahasa Inggeris melaporkan KPM berhasrat untuk melancarkan sebuah platform atas talian untuk membimbing kanak-kanak pra-sekolah menguasai Bahasa Inggeris.

Modul atas talian tersebut akan direka khusus oleh Australia dengan hanya melibatkan sedikit sahaja atau mungkin tiada langsung bantuan daripada guru-guru.

Menurut Pesuruhjaya Tinggi Australia di Malaysia, Andrew Goledzinowski, KPM secara prinsip telah bersetuju dengan cadangan tersebut dan projek berkenaan dijangka dilancarkan tahun ini.- MalaysiaGazette