Nora Danish

KUALA LUMPUR – Mengambil langkah terbaik dan muktamad, aktres dan ahli perniagaan, Nora Danish mengumumkan dia tidak lagi mempunyai kaitan lagi dengan produk kosmetik jenama OhMostWanted.

Keputusan itu dibuatnya sejak April yang lalu selepas menjalankan perniagaan tersebut dengan tiga rakan kongsi yang lain.

Tanpa menjelaskan sebab secara terperinci, Nora berkata, keputusan itu dibuat setelah mempertimbangkan segala aspek.

“Selepas memikirkan perkara ini semasak-masaknya dan di atas sebab tertentu, saya percaya apa yang dilakukan ini untuk kebaikan bersama.

“Saya sendiri begitu mencintai perniagaan kosmetik dan mempunyai perancangan lain pada masa mendatang.

“Melihat perkembangan dan kejayaan jenama ini daripada hari pertama hingga sekarang. Saya juga percaya penarikan diri ini sudah tepat waktunya dan membiarkan rakan kongsi lain meneruskan legasi yang dimulakan,” katanya.

Bagaimanapun, Nora menegaskan penarikan diri itu bukan berpunca daripada hubungannya dengan tiga rakan kongsi yang lain bermasalah.

“Kami profesional dalam hal perniagaan.“Apa yang dilakukan ini adalah atas kehendak sendiri. Saya doakan mereka terus berjaya,” tambahnya.

Nora juga berharap apa yang dijelaskan ini dapat memberikan pencerahan supaya tidak berlaku perkara yang tidak diingini mahupun salah faham.

Dalam pada itu, Nora kini memaklumkan sedang selesa memberi tumpuan kepada dua perniagaan lain termasuk mengusahakan Salun Karva dan jenama pakaian OwlbyNd.

Sepanjang bulan Ramadan ini pula, ibu kepada dua anak itu memilih untuk berehat sebentar dan menumpukan perhatian kepada keluarganya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast