Lynas Malaysia wajar dib.eri peluang untuk mempertahankan rekod pengawalseliaan serta persekitarannya secara terbuka sejak ia mula beroperasi pada 2012. - MABC
Gambar hiasan

Lynas Corp. berkata ia telah menandatangani memorandum persefahaman dengan Blue Line Corp. yang berpangkalan di Texas bagi membina kemudahan pemisah nadir bumi di Amerika Syarikat (AS).

Tindakan Lynas memasuki AS berikutan isu kawal selia yang berlanjutan di kilangnya di Malaysia, lapor Reuters.

Negara Asia Tenggara itu telah meminta Lynas memindahkan sisa buangan di kilangnya bagi membolehkan syarikat itu memperbaharui lesen.

Lynas dan Blue Line akan bekerjasama membangunkan kemudahan pemprosesan di Texas.

Majoriti kepentingan usahasama itu dikuasai Lynas, kata syarikat tersebut dalam kenyataan bersama.

Usahasama itu akan membolehkan Lynas menutup jurang rantaian pembekalan yang ‘kritikal’ untuk pengilang AS, kata syarikat itu.

Terdahulu Lynas membayangkan bahawa ia sedang mengkaji membina kemudahan pemprosesan baharu berdasarkan situasi yang dialaminya di Malaysia.

Lynas merupakan pengeluar mineral nadir bumi utama terbesar dunia di luar China.

Bahan yang dihasilkan syarikat itu, seperti neodymium-praseodymium, digunakan dalam pelbagai peralatan seperti komponen elektrik dan magnet berkuasa tinggi.

Bagaimanapun, Lynas tidak menyatakan kos cadangan pembinaan kemudahan di AS. – Agensi