Dr Maszlee Malik

KUALA LUMPUR – Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, beliau tidak sesekali menyebut akan menolak cadangan subjek mengenali agama lain seperti mana yang dilaporkan oleh media kelmarin.

Beliau merujuk kepada berita bertajuk  “Tiada Keperluan Wujud Subjek Kenali Agama Lain, Kata Maszlee” yang diterbitkan semalam.

Katanya, dalam satu majlis bersama rakyat di Simpang Renggami, beliau telah ditanyakan oleh pihak media mengenai cadangan oleh Majlis Belia Malaysia untuk mewujudkan subjek mengenali agama lain.

Transkrip jawapan beliau kepada soalan berkenaan adalah seperti berikut:

“Kita buat sementara ini telah mempunyai beberapa subjek yang mempelajari tentang agama. Contohnya macam di sekolah-sekolah kita dalam pelajaran-pelajaran tertentu memang ada kita belajar budaya berbeza dan sebagainya.

“Tapi pada saya yang lebih penting ialah penghayatan. Jadi penghayatan melalui aktiviti kokurikulum, aktiviti bersama, itu akan lebih mendekatkan kita. Kita tak mahu dari segi teori saja, tapi kita mahu dari segi praktikal. Supaya kita lebih memahami dalam erti kata kehidupan bersama itu sendiri.”

Menurut Dr Maszlee, berpandukan kepada transkrip jawapan tersebut, beliau tidak sesekali menyebut dan menyatakan untuk menolak cadangan subjek mengenali agama lain seperti yang dilaporkan.

Katanya, penjelasan ini diharapkan dapat mengelakkan sebarang kekeliruan yang timbul melalui laporan berkenaan. – MalaysiaGazette

Artikel berkaitan: KPM tolak cadangan perkenal subjek kenali agama lain