PTPTN
Menara Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 05 DISEMBER 2018

JOHOR BAHRU – Sekatan ke luar negara terhadap peminjam yang gagal membayar balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) boleh memberi kesan kepada mereka untuk mendapat peluang pekerjaan lebih baik di luar negara.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi negeri, Aminolhuda Hassan berkata, peluang kerja yang baik boleh membantu peminjam membuat bayaran balik kepada PTPTN dengan lebih baik, cepat dan mengikut tempoh yang ditetapkan.

“Katakanlah mereka dapat peluang pekerjaan (luar negara) lebih baik, kita haruslah berikan syarat-syarat tertentu bagi memastikan peminjam bayar balik.

“Misal kata, jika mereka pulang ke negara ini namun masih tidak membayar, tindakan drastik boleh diambil. Yang penting kita beri peluang kepada mereka,” katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa di Savannah Hill Resort di Sungai Tiram, di sini, malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai cadangan sekatan ke luar negara terhadap peminjam yang gagal membuat bayaran balik oleh PTPTN.

Aminolhuda turut berharap PTPTN memikirkan kaedah yang terbaik dan munasabah serta tidak membebankan kedua-dua belah pihak.

“Saya juga meminta agar PTPTN buat kaedah bayaran munasabah untuk beri ruang kepada semua peminjam dapat pulangkan, dengan kaedah terbaik untuk semua pihak agar peminjam tidak terbeban dan PTPTN dapat urus dengan lebih profesional.

“Kita yakin semua pihak mengharapkan tiada sekatan, walaupun mungkin ada kebaikan, sesetengah pihak kata kalau sekat, peminjam terpaksa bayar. Tetapi sebagai rakyat bertanggungjawab dan patriotik, mudah mudahan dengan ke luar negara, mereka dapat melunaskan bayaran,” katanya.

Menurutnya, Yayasan Pelajaran Johor turut mengalami situasi sama iaitu pelajar tidak dapat membuat bayaran balik.

“Namun, ia melibatkan pelajar yang benar-benar miskin dan yang susah dan mereka yang masih belum mendapatkan pekerjaan.

“Bagi peminjam, sewajarnya menunaikan tanggungjawab dengan memulangankan kembali wang pinjaman. Sebab dari segi pinjaman, ia pusingan kewangan bagi adik lain yang ingin melanjutkan pelajaran,” katanya. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast