12 pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Klawang terlibat dalam kemalangan membabitkan Mybas dan kenderaan utiliti sukan (SUV) Nissan X-Trail di Jalan Pantai-Bukit Tangga, Jelebu.

SEREMBAN – Majlis Amanah Rakyat (MARA) mengesahkan 12 pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Klawang terlibat dalam kemalangan membabitkan Mybas dan kenderaan utiliti sukan (SUV) Nissan X-Trail di Jalan Pantai-Bukit Tangga, Jelebu, petang ini.

Bahagian Komunikasi Korporat MARA dalam kenyataan hari ini berkata, enam daripada pelajar MRSM yang cedera telah dibawa oleh ambulans ke Hospital Jelebu, manakala lima lagi yang cedera ringan telah diberikan rawatan di Klinik Kesihatan Jelebu.

“Selain itu, seorang pelajar tingkatan 4 turut dirawat di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban,” katanya.

Justeru, pihak MARA mengucapkan jutaan terima kasih kepada anggota penyelamat dan kakitangan kesihatan yang terlibat dalam memberikan rawatan segera kepada pelajar MRSM yang terbabit.

“Profesionalisme yang ditunjukkan oleh kakitangan kesihatan serta anggota penyelamat dalam membantu mangsa kemalangan amat dihargai oleh MARA serta ibu bapa para pelajar.

“Dalam masa yang sama, MARA turut menggerakkan usaha susulan untuk memastikan rawatan dan tahap kesihatan pelajar yang terlibat dalam kemalangan ini dipantau sebaik mungkin,” katanya.

Seorang pelajar maut manakala 20 lagi dilaporkan cedera dalam kemalangan melibatkan sebuah bas henti-henti Mybas dan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Nissan X-Trail di Jalan Pantai-Bukit Tangga, Jelebu, kira-kira pukul 4.00 petang ini.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast