Ahmad Marzuk Shaary

KUALA LUMPUR – Pengendali laman Facebook DrMaza.com dinasihatkan supaya memperbetulkan kesilapannya kerana telah membina persepsi keganasan apabila sengaja menyiarkan gambar suspek kes bakar kereta Mufti Perlis dengan mengaitkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Malah, admin laman sosial itu juga perlu kembali bertakwa serta bertaubat kepada Allah di atas perbuatannya, kata Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Ahmad Marzuk Shaary.

Ini kerana kata beliau, ulasan yang disiarkan pada laman sosial tersebut ditulis dengan konotasi jahat dan mencurigakan, licik, berbaur fitnah dan tuduhan liar yang mendahului proses keadilan.

“Apakah admin DrMaza cuba memburukkan imej Pas dan Presiden Pas?

“Saya amat berkeyakinan bahawa tindakan admin page nya itu bukanlah menggambarkan pendirian Dr Maza atau arahan beliau atau juga keizinan beliau, jauh sama sekali senjata saraf beliau dalam menyerang sasarannya yang berselindung di sebalik nama admin.

“Saya yakin bukan begitu sikap beliau dan saya amat bersangka baik terhadapnya,” katanya menerusi kenyataan kepada media.

Ahmad Marzuk berkata, tindakan admin DrMaza.com yang memulakan ‘serangan’ itu memberi impak sangat besar terhadap persepsi keganasan.

Ujarnya, apa yang membimbangkan ia akan menjadi satu wabak persepsi jahat yang tidak lagi mampu dikawal sehingga menyumbang kepada keganasan lain.

Tambah beliau, sebarang kesan yang terjadi mungkin berpanjangan selepas ini adalah daripada campur tangan admin DrMaza.com tersebut dan dia harus bertanggungjawab.

“Pas amat mengutuk perbuatan jenayah bakar kereta tambah lagi ke atas agamawan besar seumpama Dr. Maza.

“Soal bersalah atau tidaknya suspek serahlah kepada proses keadilan mahkamah, Pas sebagai parti yang berintegriti tidak sekali-kali akan berkompromi dan campur tangan untuk mengganggu dan mendahului proses keadilan.

“Kalau sekiranya suspek yang masih dalam siasatan terbukti bersalah sekalipun, itu adalah dosa peribadinya.

“Mengaitkan Pas atau Jabatan Amal secara langsung adalah perbuatan jahat dan tidak bertanggungjawab,” tegasnya.

Dalam pada itu, Ahmad Marzuk meminta penyokong dan pendukung Pas supaya bertenang dengan keadaan itu.

Katanya, beliau berharap agar isu berkenaan akan terhenti dengan kemaafan, berlapang dada dan perdamaian.

“Saya yakin itulah juga harapan orang yang sedang mengikutinya,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast