Mohd Razlan Rafii
Mohd Razlan Rafii

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak sepatutnya menyalahkan peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kerana gagal melunaskan pinjaman pendidikan mereka.

Presiden Gabungan Gerakan Perpaduan Kebangsaan (GerakPadu), Datuk Mohd Razlan Rafii sebaliknya berkata, keengganan peminjam membuat bayaran balik adalah kerana mereka menuntut janji PH untuk menghapuskan hutang pendidikan semasa pada pilihan raya lalu.

“Kerajaan tidak seharusnya meletakkan kesalahan tidak membayar PTPTN kepada peminjam, tidak perlu mengeluarkan kata-kata seperti ada mampu keluar negara, hutang tak nak bayar, mampu pakai telefon mahal, hutang tak nak bayar, boleh beli kereta hutang tak nak bayar, hutang wajib bayar.

“Kata-kata itu ibarat membuli rakyat, memang kamu berkuasa sekarang, namun rakyat laksanakan tanggungjawab pada tahun lepas dengan mengundi PH kerana janji hutang mereka akan terhapus.

“Sebaik sahaja PH menang, tidak salahlah mereka ini menuntut janji,” katanya dalam entri terbaru di Facebook miliknya, hari ini.

Mohd Razlan berkata, pemimpin-pemimpin PH mesti berpegang kepada janji yang ditabur kepada rakyat untuk menghapuskan PTPTN sekiranya mereka memberi undi kepada pada pilihan raya lalu.

“Undi PH, kamu tak perlu bayar PTPTN, undi PH PTPTN dihapuskan, ini ungkapan PH yang dibuat janji, mereka semua berpegang kepada janji PH!

“Sepatutnya janji ini ditunaikan, ramai ahli keluarga berpegang kepada janji ini, dan ramai peminjam PTPTN berkemampuan untuk bayar juga mengundi PH kerana janji ini.

“Selepas menang, kenapa tak tunai janji ini ? Kenapa nak keluarkan macam-macam fatwa berkenaan hutang?” katanya.

Beliau turut kesal dengan tindakan Kerajaan PH yang memperlekeh dan memperbodohkan peminjam PTPTN apabila gagal menunaikan janji untuk menghapuskan pinjaman pendidikan itu.

“Saya syorkan, peminjam PTPTN bangkit menentang dan menuntut janji Kerajaan PH, semua yang berjanji sudah duduk dalam Kabinet, yang berhutang dengan kamu semua adalah Kerajaan PH,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast