Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador menyempurnakan gimik pelancaran pada Majlis Pelancaran Op Selamat 15/2019 sempena Hari Raya Aidilfitri di Menara TM, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 24 MEI 2019

KUALA LUMPUR- Menculik dan membawa pulang  Jho Low dari negara yang pelarian itu bersembunyi menggunakan aksi James Bond tidak sesuai digunakan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, ia tidak realistik jika hendak mencuba langkah itu dalam usaha pemburuan Jho Low walaupun ada petunjuk mengenai kedudukannya.

“Penyelesaian terbaik untuk isu ini adalah kita bertindak berdasarkan undang undang negara tertentu itu (persembunyian Jho Low).

“Tetapi buat gaya James Bond menerusi melanggar undang-undang sesebuah negara dia sembunyi ia tidak baik dan sesuai dengan kaedah pendekatan kita (PDRM) dan kita tidak akan berbuat demikian.

“Kita akan mengikut saluran undang undang yang betul dan adil serta telus kepada media,” katanya apabila ditanya bagaimana PDRM akan membawa pulang Jho Low yang sehingga kini masih enggan menyerah diri.

Abdul Hamid juga mengesahkan akan menahan Jho Low serta sekumpulan lima atau enam orang lagi yang ada kaitan.

Beliau juga menyatakan bahawa kerjasama agensi risikan antarabangsa, rakan dan pasukan sejawat di negara-negara lain akan membantu mencekup Jho Low dan gengnya.

Katanya, polis tidak akan membiarkan skandal 1MDB berterusan dan mahu menamatkannya segera dengan menahan Jho Low memandangkan pegawai polis juga geram dengan tindakan ahli perniagaan itu menyorokkan diri.

“Saya boleh beri jaminan bahawa kita tahu di mana jua di berada, boleh di China atau Kemboja tetapi PDRM tahu di mana dia dan kami akan cari jalan untuk bawa dia balik ke sini.

“Saya meminta mereka supaya balik menyerah diri tanpa membuang masa dan jangan harap boleh terus menyembunyikan diri dan kalau mereka rasa tak bersalah tampil dan buktikan di mahkamah Malaysia.

“Saya beri jaminan polis tidak akan mencederakan atau menyeksa mereka, itu semua mengarut. Kalau nak dia boleh mengupah peguam terbaik dunia untuk mempertahankan diri.. tapi jangan buang masa kami dan ingat kamu tidak boleh lari selama-lamanya,” tegasnya.

Abdul Hamid juga mengingatkan Jho Low supaya menghentikan segera tindakan mengeluarkan kenyataan dari jauh menerusi peguamnya dan menafikan semua perkara berkaitan siasatan ke atasnya.

Beliau memberi jaminan keselamatan diri dan keluarga Jho Low sambil meminta Jho Low menyerah diri dan menghadapi proses undang-undang negara.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast