KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini beriltizam akan meneruskan legasi dan sifat perikemanusiaan Almarhum Paduka Ayahanda Haji Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.
“Ia suatu yang sukar beberapa hari ini buat kami sebagai sebuah keluarga. Tetapi kami tidak mungkin dapat melalui semua ini tanpa cinta, sokongan dan kasih sayang yang ditunjukkan oleh keluarga, rakan-rakan, rakyat Pahang dan semua rakyat Malaysia.
“Untuk ini dan yang lain lagi, kami berterima kasih dengan setulus hati kepada anda,” titah Seri Paduka Baginda dalam hantaran akaun Instagram Istana Negara di sini hari ini.
Yang di-Pertuan Agong bertitah, rakyat Malaysia telah kehilangan seorang manusia yang luar biasa namun yang lebih penting, mereka kehilangan ayahanda yang tersayang dan rakyat kehilangan seorang Sultan yang benar-benar luar biasa.
“Malahan, kami berterima kasih kepada Allah kerana mengurniakan kami dengan seorang pemimpin dengan sifat yang merendah diri yang kita semua terdorong dengan kasih sayang dan rahmatnya kepada rakyat Pahang dan Malaysia.
“Ayahanda kami kekal dalam sanubari kami buat selama-lamanya, Al Fatihah,” demikian titah kedua-dua Baginda.
Sultan Ahmad Shah mangkat di Institut Jantung Negara (IJN) jam 8.50 pagi, Rabu lalu.
Sultan Ahmad Shah, 88, adalah Sultan Pahang kelima dan ayahanda kepada Yang di-Pertuan Agong sekarang. – BERNAMA