KUALA LUMPUR – Satu mesyuarat khas peringkat Kabinet telah membincangkan isu pekerja asing secara mendalam, termasuk sama ada mahu meneruskan program pemutihan.
Sinchew Daily melaporkan, Kementerian Dalam Negeri membantah pelaksanaan pogram pemutihan atas petimbangan keselamatan, walaupun terdapat kementerian lain berpendapat program itu perlu untuk mengatasi masalah kekurangan pekerja di beberapa sektor.
Sumber memberitahu, isu itu akan dipanjangkan ke mesyuarat Kabinet Rabu depan untuk mengesahkan penamatan program pemutihan pekerja asing.
“Mesyuarat khas secara dasarnya bersetuju supaya tidak lagi melaksanakan pemutihan pekerja asing.
“Berkenaan pembekuan permohonan pekerja asing untuk sektor tertentu, ia terserah kepada perbincangan lebih teliti melibatkan ketua setiausaha kementerian. Hasilnya akan dipanjangkan ke mesyuarat Kabinet untuk keputusan,” kata sumber.
Kementerian Dalam Negeri dilaporkan berpendapat kebanjiran pekerja asing akan menjurus kepada kegiatan yang tidak mematuhi undang-undang.
“Pemutihan mewujudkan satu kitaran iaitu pekerja asing sah bertukar menjadi pendatang tanpa izin sebelum diputihkan sebagai pekerja kontrak.
“Keadaan ini mendorong kerajaan untuk tidak meneruskan program pemutihan,” kata sumber.
Kerajaan melaksanakan program pemutihan ‘6P’ pada 2011. Program pemutihan dilancarkan semula pada 2016. – MalaysiaGazette