Contoh ukuran yang ditunjukkan oleh Kamarul Ariffin menerusi perkongsian di Facebook

KUALA LUMPUR – Seorang pakar fisioterapi berkongsi pandangan mengenai perbezaan penggunaan ukuran pita ukuran baju sebagai rujukan kepada pembuat pakaian.

Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan membuat perbandingan ukuran pita ukur dalam inci ekoran timbul isu di laman sosial apabila ia dilihat menjadi masalah kepada penjual pakaian online.

Ini kerana menurutnya, ada sesetengah pembeli pakaian online bergaduh dengan tukang jahit kerana masalah pakaian yang dibeli tidak kena saiz meskipun ukuran tepat telah diberikan sebelum pakaian direka.

“Sekarang tengah viral perkongsian pasal perbezaan pita ukur inci yang ada di Malaysia ni.

“Perbezaan ni jadi masalah di zaman sekarang sebab baju beli online, pembeli pakai pita ukur inci lain, penjual pakai pita ukur inci lain.

“Itu yang jadi baju sampai yang dibeli, tak muatlah, terbesarlah, singkatlah, labuhlah. Lepas tu jadi gaduh antara penjual dan pembeli.

“Jadi ada orang yang kongsi tentang perbezaan pita ukur ni. Dia bezakan ikut warna. Ada tukang jahit kata ukuran inci pita putih yang salah, ada budak ijazah tekstil kata putih yang betul. Habis bergaduh pula sesama tukang jahit,” tulis beliau menerusi perkongsian di Facebook.

Kamarul berkata, kedua-dua pihak iaitu pembeli dan tukang jahit yang bertelagah tentang perkara tersebut mempunyai kesilapan masing-masing berhubung warna kerana ia bukanlan sesuatu ketetapan standard yang harus diguna pakai.

Katanya, ada jenis ukuran dalam bentuk inci yang digunakan iaitu ukuran inci di Amerika Syarikat (US) dan United Kingdom (UK) manakala, satu lagi ukuran inci oleh China.

ukur

Jelasnya, Kedua-dua ukuran ni tak ada tetapan warna pita ukurnya standard. Kadang inci UK pita putih, kadang inci China pita putih, malah, ia boleh datang dengan apa sahaja warna.

“Sebab tu pertikaian pita warna apa yang betul adalah pertikaian yang tak sah (valid).

“Sepatutnya yang dibincangkan adalah inci mana yang diguna pakai di Malaysia,” ujarnya.

Justeru, beliau mengingatkan pembeli agar menggunakan ukuran inci mengikut standard UK sekiranya mahu membeli pakaian secara online di Malaysia.

Manakala, jika pembeli membeli pakaian yang diimport dari China mereka boleh memilih untuk menggunakan ukuran inci UK atau lebih selamat gunakan ukuran dalam bentuk sentimeter. – MalaysiaGazette