ADANG BESAR – Tiga anak Malaysia yang mengembara dengan berbasikal selama 403 hari dengan jarak kira-kira 16,000 km, merentasi 13 negara, tiba di tanah air hari ini.

Muhammad Amir Arsad, 29, Mohd Faizul Abdul Malek, 27, dan Mohd Azmeer Faiq Mohd Rusli, 29, tiba di pintu sempadan Malaysia di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin, Padang Besar di sini pada 9.30 pagi.

Ketibaan mereka disambut Exco Kerajaan Johor Aminolhuda Hassan, ibu bapa, rakan taulan dan orang ramai.

Tiga anak muda itu menzahirkan rasa bertuah dan syukur kerana dapat kembali ke tanah air setelah memulakan pengembaraan dari United Kingdom (UK) ke Malaysia selama lebih setahun.

Muhammad Faizul, ketika ditemui Bernama berkata, beliau bersama dua lagi rakan hanya berkenalan di laman sosial Facebook, tetapi mencapai kata sepakat untuk memulakan pengembaraan itu pada April tahun lepas, dan bersama-sama berjaya menamatkan misi kayuhan berbasikal itu.

“Cuaca sejuk yang paling susah untuk dihadapi. Selain itu, orang di sana (negara luar) mudah menerima kami dan menyediakan tempat tinggal secara percuma,” katanya yang berasal dari Setapak, Selangor.

Muhammad Amir, pula menceritakan pengalaman pahit mereka bertiga ditahan oleh satu badan keselamatan khas, ketika tiba di Kazakhstan dan disoal siasat selama lima jam, kerana dianggap membawa pengganas.

“Pelbagai soalan terpaksa dijawab, lima jam, namun kami dilepaskan dengan baik sekali,” katanya yang berasal dari Batu Pahat, Johor.

Mohd Azmeer Faiq, berkata secara keseluruhannya tidak banyak masalah yang mereka hadapi untuk pulang ke Malaysia dari UK secara basikal.

“Saya dan rakan-rakan teruskan perjalanan dan Alhamdulillah tiada masalah. Banyak pihak yang membantu kami di samping doa daripada ibu dan ayah,” katanya yang berasal dari Baling, Kedah.

Sementara itu, Aminolhuda yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi Johor berkata sambutan meriah akan diberikan kepada Muhammad Amir, sebaik beliau tiba di kampung halamannya nanti.

“InsyaAllah saya akan cuba usahakan untuk memberi insentif kepada Muhammad Amir kerana, beliau telah berjaya mengelilingi dunia dan mungkin juga pertama di Johor. Kita akan cuba yang terbaik untuknya,” katanya. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast